Seorang suri rumah di Indonesia telah diperkosa oleh seorang bomoh gara-gara mempercayainya boleh ‘mengubati’ dirinya yang sudah 12 tahun tidak hamil.

Portal Kompas melaporkan Ketua Polis Daerah Indragiri Hulu Dody Wirawijaya berkata, polis sudah menahan suspek dinamakan DDS, 47, semalam.

Beliau berkata, mangsa dinamakan SBT, 34, sudah 12 tahun berkahwin dan belum mempunyai anak itu, menemui suspek sebagai ikhtiar untuk hamil.

“Suspek mencabul mangsa dengan mendakwa sebagai bomoh yang boleh membantu mangsa mendapatkan zuriat.

“Suspek merogol mangsa sebanyak 20 kali sejak Februari 2021 dan kini mangsa hamil tujuh bulan. Kali terakhir mangsa dirogol dukun itu, pada penghujung Julai lalu.

“Pada awalnya mangsa dan suaminya menemui suspek yang dikenali sebagai bomoh untuk mendapatkan rawatan. Namun pada rawatan susulan mangsa pergi ke tempat suspek seorang diri kerana suaminya bekerja,” katanya.

Suspek juga menawarkan ‘perlindungan diri’ berupa cincin dan kain yang kononnya didoakan dengan harga upah sebanyak 2.1 juta rupiah (kira-kira RM612).

Katanya, suspek memberitahu mangsa ada sesuatu yang tidak elok di badan mangsa itu dan perlu dimandikan dengan air bunga.

“Mangsa bersetuju, kemudian isteri suspek menyediakan mandian air bunga di dalam bilik air. Ketika itulah, bomoh itu merogol mangsa.

“Mangsa tidak ada kuasa untuk melawan kerana keliru serta takutkan bomoh itu. Perbuatan itu berterusan kira-kira 20 kali,” katanya.

Dody berkata, wanita itu tidak kembali kepada suaminya kerana rasa bersalah. Manakala bomoh itu tidak mahu bertanggungjawab selepas mangsa hamil.

Mangsa yang tidak boleh menerima jawapan bomoh itu lantas membuat laporan ke Balai Polis Daerah Indragiri Hulu dan kes itu masih dalam siasatan. Pegawai polis menahan penjenayah itu bersama beberapa bukti seperti peralatan bomoh dan pakaian mangsa.

Sumber