Apabila anda merupakan seorang yang popular, secara lumrahnya kehidupan bakal menjadi sibuk dan lebih meluangkan masa di internet atau media sosial. Untuk jangka masa panjang, ia sangat tidak bagus untuk kesihatan mental dan fizikal.
Terbaharu, pelakon Chris Evans sedia menyahaktifkan kedua-dua kedua-dua akaun media sosialnya iaitu Twitter dan Instagram kerana ingin berehat sebentar daripada menghabiskan masa dalam talian.
Baca Juga:
- Chris Evans Buka Mulut Isu Viral ‘Number Neighbor’
- Chris Evans Beri ‘Hint’ Beliau Akan Terkorban Dalam Avengers 4?
Memetik laporan Clutch Points, Chris memaklumkan perkara itu pada 29 Jun lalu dan ingin menikmati cuti musim panas dengan sebaiknya.
“Hai semua, saya sedang menikmati cuti musim panas dan cuba untuk mengurangkan masa melayari media sosial.
“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari Twitter dan Instagram. Kita jumpa lagi nanti, terima kasih semuanya,” katanya.
Pelakon filem Marvel itu bagaimanapun memberikan penjelasan lebih jelas di Instastory miliknya dengan memuat naik semula mesej daripada bintang Rocketman iaitu Taron Egerton yang turut memaklumkan akan berundur dari media sosial.
“Saya akan berehat sebentar dari media sosial. Saya tidak pasti mengapa saya membuat keputusan besar seperti ini.
“Saya hanya fikir sukar untuk melepaskan diri daripada rutin melayari media sosial sehingga menjadi satu ketagihan,” tulisnya.
Egerton turut mengatakan bahawa beliau telah kehilangan banyak waktu untuk meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti harian seperti membaca buku dan menonton filem.
Malah tambahnya lagi, beliau sudah tidak dapat meluangkan masa bersama orang-orang tersayang disebabkan adanya media sosial.
Kenyataan itu turut disokong oleh Chris dan memaklumkan dia akan mengikut jejak langkah Egerton yang ingin menjarakkan diri daripada penggunaan media sosial.