Baru-baru ini, tular sebuah video memperlihatkan sikap seorang pemilik sebuah kereta X50 berwarna biru yang memarahi seorang penunggang motosikal yang berhenti memberi laluan kepada pejalan kaki.
Susulan itu, wujud segelintir netizen yang membongkar maklumat peribadi pemandu terbabit dan menghebahkan kepada orang ramai dengan harapan boleh membawa ia ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, siapa sangka ada sebahagian netizen yang menyalah erti kod warna kereta X50 berkenaan dengan sebuah agensi pemasaran yang kebetulan berkongsi nama yang sama.
Nama yang dimaksudkan adalah Ocean Blue untuk kod warna kereta itu sementara agensi tempatan ini pula dinamakan sebagai Ocean Blue Agency Sdn Bhd.

Ditambah pula dengan maklumat varian X50 jenis Executive yang dikongsikan di dalam ayat yang sama sekaligus membuatkan seseorang yang kurang fasih Bahasa Inggeris menyangka lelaki itu bekerja sebagai excutive di agensi terbabit.
Memandangkan berkongsi nama yang lebih kurang yang sama, difahamkan orang ramai tanpa sebarang selidik telah menyerang agensi itu dengan meletakkan ulasan serta rating negatif sekaligus menjejaskan imej agensi itu di platform Google.

Tidak pasti berapa hari ia berlarutan berlaku sehinggakan terdapat lebih 70 ulasan negatif yang ditinggalkan serta menjadikan rating keseluruhannya mencecah titik terendah 1.4 bintang sahaja.

Melihat daripada tangkap layar berjaya dirakam oleh pengguna, kelihatan netizen sengaja meletakkan ulasan yang negatif sambil mengaitkan bahawa pemandu terbabit sebagai pekerja ekskutif dari Ocen Blue yang tidak beradab.

Namun selepas itu, bahagian ulasan dan rating di Google Reviews telah pun kembali pulih seperti biasa dan segala komentar telah pun dipadam yang dipercayai oleh pihak Google sendiri.
Oleh sebab itu, orang ramai untuk dinasihatkan untuk tidak sebarangan meninggalkan ulasan negatif sesuka hati tanpa sebarang selidik kerana boleh menjejaskan imej sesebuah bisnes.
Selain itu, cuba mempelajari perkataan asas Bahasa Inggeris agar memahami sesuatu konteks ayat yang dibaca di dalam media sosial.