Nampaknya ‘drama’ antara netizen Malaysia dan Indonesia belum ada tanda-tanda mahu tamat dalam masa terdekat. Kalau sebelum ini isu makanan dan tarian tradisional sering menjadi punca perbalahan, kali ini isu penemuan sejarah pula yang menjadi mangsa—hanya disebabkan satu kekeliruan bahasa yang cukup melucukan.

Segalanya bermula apabila seorang lelaki tempatan berkongsi keterujaannya mengenai penemuan lukisan di dalam sebuah gua. Namun, niat murni untuk berkongsi ilmu itu bertukar menjadi ‘medan tempur’ di ruangan komen apabila netizen seberang mula ‘panas hati’.

Difahamkan pada mulanya ilmuwan bernama Zamir Mohyedin mahu berkongsi tentang penemuan lukisan di dalam sebuah gua di Indonesia yang berusia lebih 67,000 lamanya.

Gara-gara Perkataan ‘Gua’, Netizen Indonesia Amuk Ingat Lelaki Malaysia Nak 'Overclaim' Penemuan Baharu
Sumber Gambar: X

Perkongsian ilmiah tersebut yang sepatutnya menjadi penemuan menarik tentang peradaban manusia yang berevolusi bermula dengan imaginasi dan kreativiti akhirnya menjadi medan pertikaman lidah oleh netizen seberang.

Puncanya? Hanya kerana perkataan “Gua” (yang merujuk kepada lubang di dalam tanah/bukit) disalahertikan sebagai kata ganti diri “Saya” dalam dialek mereka.

Tanpa usul periksa, ada yang mula melabel rakyat Malaysia sebagai ‘pencuri budaya’ dan cuba melakukan claim terhadap penemuan tersebut.

Antara komen liar yang dilontarkan termasuklah “Tak payah nak mengaku sangatlah, ni bukan kau yang buat pun”, “Sejak bila kau pandai melukis ni, bang?, “Bapak ah, power gila kau bang boleh lukis macam ni” dan “sebentar lagi akan dituntut oleh orang Malaysia”.

Netizen tempatan langsung menolak tohmahan cubaan mengambil hak milik lukisan gua itu dan menerangkan frasa gua memang digunakan untuk penempatan dan bukannya disamakan dengan pemahaman mereka yang digunakan sebagai kata ganti diri.

Pemilik hantaran juga pula melihat ia sebagai satu jenaka sahaja melihat situasi sedemikian.

Kelakar baca komen sebab orang Indonesia ingat lukisan ini aku yang buat. Sebab depa faham gua sama dengan  aku.

Pastu marah-marah dan troll ingat aku buat dakwaan berlebihan (overclaim). Bukan salah aku korang tak faham dan salah faham. Boleh didik diri sendiri untuk belajar,” selorohnya.