Bercuti ke pulau idaman seperti Pulau Redang sememangnya menjadi impian ramai. Selain menikmati keindahan pantai, aktiviti snorkeling sudah tentu menjadi agenda wajib.

Namun, satu perkongsian daripada penyedia perkhidmatan pelancongan AG Holiday di TikTok baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila menyuarakan pesanan mesra khas buat kaum wanita.

Bukan Tak Bagi Lawa, Tapi Penat Nak Sental

Gara-Gara 'Pondasen' Melekat Dekat Mask, Krew Bot Pulau Redang Rayu Wanita Henti Solekan Tebal
Sumber Gambar: TikTok

Menerusi video berkenaan, seorang krew bot kelihatan tekun berus dan membersihkan set cermin mata snorkeling atau mask yang dicelup dalam besen bersabun. Sambil menyental kesan bedak asas yang melekat tebal pada silikon cermin mata itu, dia sempat berseloroh dalam dialek Terengganu.

“Pesanan untuk wanita yang nak join trip snorkeling Pulau Redang, tak payah mekap tebal-tebal. Mekap normal je. Kalau kena begini, air mata nak basah nak cuci. Hak ni panggil foundation, penat nak cuci,” selorohnya sambil menunjukkan kesan solekan yang jelas melekat pada alatan tersebut.

Rutin Harian Sanitasi Demi Keselesaan Pelancong

Menjawab pertanyaan pengguna TikTok bernama Chika mengenai kekerapan peralatan itu dibersihkan, pihak AG Holiday menjelaskan bahawa proses cuci dilakukan setiap hari sebaik sahaja selesai sesi trip.

“Habis daytrip balik terus basuh. Untuk orang lain guna pula esok. Setiap hari rutin AG Holiday akan bersihkan semua equipment dan termasuk bot,” jelas wakil syarikat itu di ruangan komen.

Pelbagai Reaksi Lucu dan Pengalaman Pelancong

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terhibur dengan gelagat abang bot tersebut sambil menyokong pesanan yang disampaikan. Ada yang berseloroh mekap tebal itu mungkin ada tujuan lain.

“Dia pergi nyelam sebab nak ngorat putera duyong ke?” usik pengguna bernama Dayah.

Seorang lagi pengguna, Noerynacqyn, turut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila pernah mendapat set peralatan snorkeling yang tidak dibersihkan di lokasi lain.

“Betul bang, ini kira okaylah abang basuh. Saya hari tu dapat set yang tak basuh, terus tak ada mood nak snorkeling. Dapat yang ada kesan gincu bagai, geli sangat. Tak payahlah nak bersolek bagai nak ke laut,” kongsinya.

Selain isu kebersihan alatan bersama, beberapa netizen turut mengingatkan bahawa pemakaian bahan solekan berlebihan secara tidak langsung boleh mencemarkan ekosistem laut.

@ag.holiday

Geng sek awok ke paka pongdeseng terlebih ni? 😅 #agholiday #daytrippulauredang #pulauredang #snorkelling #terengganu

♬ Chopin Nocturne No. 2 Piano Mono – moshimo sound design

Kesimpulannya, cukuplah sekadar memakai pelindung matahari yang selamat untuk terumbu karang supaya percutian kekal menyeronokkan dan peralatan dapat dijaga bersama.