Kejutan besar melanda dunia automotif apabila selepas hampir 70 tahun merekodkan keuntungan berturut-turut, gergasi automotif Jepun, Honda akhirnya mencatatkan kerugian tahunan pertama mereka sejak 1955.
Namun, kerugian ini bukanlah sebab kereta mereka tak laku. Sebaliknya, ia berpunca daripada keputusan drastik industri automotif yang terpaksa menarik brek kecemasan terhadap pelan pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) mereka.
Apa sebenarnya yang dah jadi? Jom kita selami situasi ini
Semuanya Berpunca Dari Perubahan Polisi di AS
Dulu, syarikat kereta rancak melabur berbilion dolar untuk hasilkan EV kerana menjangkakan undang-undang pelepasan karbon yang sangat ketat di Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Biden.
Tapi, keadaan berubah 360 darjah bila pentadbiran Trump membatalkan undang-undang tersebut.
Lebih parah, mereka turut memansuhkan insentif cukai sebanyak $7,500 (bantuan untuk pembeli EV) dan menghapuskan denda besar terhadap syarikat kereta yang melanggar syarat pelepasan asap.
Akibatnya? Jualan EV terus menjunam teruk bermula September. Walaupun harga petrol naik, ia tetap tak cukup untuk tarik minat pembeli di AS untuk beralih kepada EV.
Kos ‘Cancel’ Projek EV Sangat Mahal
Bila polisi sudah longgar, syarikat kereta kembali fokus kepada “lubuk emas” mereka iaitu jualan trak pikap dan SUV berkuasa petrol yang lebih menguntungkan.
Tapi, perpindahan fokus ini datang dengan harga yang sangat mahal. Syarikat kereta terpaksa ‘menelan’ kos kerugian pelaburan berskala besar (*write-down*) yang mereka dah keluarkan untuk fasiliti EV sebelum ini.
Bagi tahun kewangan berakhir Mac, ini kesan yang ditanggung oleh Honda ialah terpaksa menanggung kos kerugian pelaburan EV sebanyak 1.6 trilion yen (hampir $10 bilion).
Kos ini terus ‘menyapu bersih’ potensi keuntungan Honda yang sepatutnya bernilai $7.4 bilion. Kesannya, Honda terpaksa isytihar kerugian bersih sebanyak 403.3 bilion yen ($2.6 bilion).
Lebih malang, Honda menjangkakan akan ada lagi kos tambahan yang perlu ditanggung pada tahun ini, walaupun ia takkan menyebabkan mereka rugi lagi.
Bukan Honda Saja Yang ‘Terduduk’
Kalau anda rasa Honda saja yang terkesan, anda silap. Gergasi automotif lain pun turut berpeluh menanggung kerugian pelaburan EV pada tahun 2025:
Berdasarkan rekod, General Motors (GM) telah mengalami kerugian $7.2 bilion (masih catat untung keseluruhan).
Sementarar Ford pula menanggung kos kerugian pelaburan $17.4 bilion (catat kerugian bersih untuk 2025).
Stellantis (pengeluar Jeep, Ram, Dodge)terpaksa akur tanggung kos $29.7 bilion (turut catat kerugian bersih).
Adakah Ini Pengakhiran Untuk EV?
Jawapannya, sudah tentulah tidak sama sekali. Walaupun projek EV di AS perlahan, syarikat kereta tetap tidak akan menyingkirkan terus pelan EV mereka.
Ini kerana negara-negara di Eropah, Asia, dan beberapa negeri di AS (seperti California) masih mahu meneruskan undang-undang alam sekitar yang ketat. California malah merancang untuk mengharamkan jualan kereta petrol baharu menjelang 2035!
Selain itu, jenama automotif global kini sedang ‘berpeluh’ melihat persaingan sengit dari pengeluar kereta elektrik China yang semakin mendominasi pasaran antarabangsa dengan harga yang jauh lebih murah.
Pendek kata, jalan untuk EV masih ada, cuma penuh dengan ‘bonggol’ yang menelan belanja berbilion dolar.