Satu hantaran di platform Threads baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila pengguna media sosial dari Indonesia meluahkan rasa sedih berhubung situasi semasa syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Susulan maklum balas rasmi daripada syarikat tersebut yang menegaskan mereka masih beroperasi dan berfokus pada masa hadapan, gema sokongan serta nostalgia mula membanjiri ruang maya.

Impian Ke Luar Negara Jadi Kenyataan

Seorang pengguna Threads menerusi akaun arvn meluahkan rasa hiba apabila membaca perkongsian terkini penerbangan berkenaan dan berharap AirAsia dapat terus bertahan.

Gara-Gara Satu Hantaran 'Ini', Netizen Indonesia Luah Rasa Hiba Dan Kenang Jasa AirAsia
Sumber Gambar: Threads

Dia menyifatkan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik yang berkali-kali merealisasikan impiannya untuk terbang ke luar negara menerusi tawaran tiket harga rendah.

Luahan itu disokong ramai pengguna lain yang turut menyifatkan AirAsia sebagai penerbangan pertama yang membawa mereka menjejakkan kaki ke luar negara.

Pengguna aldyokt menyatakan syarikat penerbangan ini yang membuka ruang untuknya melancong ke luar negara buat kali pertama dan berharap mereka segera pulih.

Kenangan Tiket Promosi Dan Nostalgia Melancong

Ruangan komen turut menjadi medan kenangan apabila warganet berkongsi pengalaman menikmati pelbagai promosi tiket tambang murah pada masa lalu.

Pengguna firdaroya mengenang kenangan terbang ke London pada tahun 2009 dengan harga sekitar 4.5 juta Rupiah (sekitar RM1,300) serta ke Paris pada tahun 2010 dengan harga 5.4 juta Rupiah (sekitar RM1,560) pergi dan balik. Dia berharap syarikat ini terus bertahan agar dapat terus merealisasikan impian ramai orang.

Pengguna christianmandak_ pula berkongsi pengalaman penerbangan dari Manado ke Kota Kinabalu yang hanya bernilai 600 ribu Rupiah (sekitar RM170).

Bagi penduduk kawasan seperti Sumatra, pengguna nobinoobita_ menganggap AirAsia sebagai penyelamat utama kerana menyediakan pilihan transit di Kuala Lumpur dengan kos yang jauh lebih jimat.

Harapan Untuk Bangkit Lebih Kukuh

Meskipun sebilangan pengguna pernah berdepan pengalaman kurang memuaskan seperti kelewatan penerbangan, majoriti warganet mengakui bahawa tanpa tawaran harga munasabah ini, mereka mungkin tidak berpeluang menjejakkan kaki ke pelbagai destinasi seperti Bangkok, Singapura, Shanghai, mahupun Istanbul.

Mesej sokongan dan ucapan terima kasih terus mengalir di media sosial. Rata-rata warganet Indonesia mendoakan agar AirAsia dapat bangkit semula dengan lebih kukuh dan terus membuka peluang untuk semua orang terbang ke pelbagai pelosok dunia.