Bila di atas jalan raya, ada kalanya pasti kita akan terlihat drama pertengkaran di antara pengguna jalan raya kerana tidak puas hati akan sesuatu perkara.

Namun, baru-baru ini tular sebuah video yang memperlihatkan keunikan satu insiden pertengkaran yang pada mulanya tampak tegang bagaimanapun berakhir dengan baik.

Di dalam video tersebut, pemilik kereta waja telah dikonfrontasi oleh seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakannya yang memberhentikan kereta sebelum itu.

Walaupun pemilik waja itu cuba menerangkan situasi sebenar untuk mempertahankan dirinya, lelaki yang memandu kereta Honda itu tetap berkeras dan meninggikan suara dalam meluah ketidak puasan hatinya.

“Kenapa you berhenti, kau berhenti kenapa?,” soalnya berulang-kali.

Namun, pemilik waja itu bertindak rasional dengan meminta maaf kepada lelaki itu dengan harapan tidak mahu memanjangkan isu susulan keadaan trafik yang sesak.

Mungkin disebabkan dia beralah, lelaki yang memandu Honda itu pun lantas reda dan sedia memaafkan lelaki itu sambil bersalaman sebagai tanda sudah berdamai.

“Minta maaf ok,” jawabnya dengan nada keredaan.

Video yang tular itu meraih pujian dari netizen kerana sikap pemilik Waja yang sanggup merendahkan ego untuk memohon maaf dan langsung berjaya meneutralkan keadaan tegang tersebut.

Netizen percaya perkataan ‘Maaf’ itu memang ringkas namun tidak ramai yang sanggup melafazkannya untuk mengakui kesilapan. Selain itu, video ini juga menjadi bukti bahawa kadang-kala kekhilafan ringkas ini boleh sahaja diselesaikan dengan mudah jika saling bertoleransi.