Dua orang lelaki warga Malaysia tidak menyangka lawatan ke Singapura baru-baru ini telah menyebabkan mereka didenda hampir RM10,000.

Menerusi hantaran video Instagram @the.timestamps, semasa mereka mahu keluar daripada negara jiran itu, didapati kad AutoPass mereka bermasalah.

Baca Juga:

Kad tersebut berfungsi sebagai Permit Kemasukan Kenderaan elektronik untuk kereta dan motosikal bernombor pendaftaran asing. Ia digunakan untuk merekodkan kemasukan kenderaan asing ke Singapura dan untuk membayar semua kadar bayaran masuk dan keluar dari negara itu.

“Apabila kami mahu keluar dari Singapura, kad kami menghadapi masalah dan kami terus pergi ke pejabat Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA).

“Selepas membuat semakan, didapati kad kami mempunyai bayaran tunggakan sebanyak SGD2,678.50 kerana di dalam sistem mereka tidak mengambil rekod kami keluar dari negara itu sejak empat bulan lalu — kali terakhir kami masuk ke Singapura,” kata The Timestamps.

Mereka meminta LTA membuat pengesahan kepada pihak imigresen. Bagaimanapun atas beberapa sebab jabatan LTA dan imigresen adalah berbeza. Kedua-dua jabatan itu tidak menggunakan pangkalan data yang sama — jadi mereka tidak dapat membuat pengesahan.

Sumber Gambar: Instagram @the.timestamps

“Selepas dua jam bertengkar dengan pegawai LTA, kami diminta membayar denda atau kereta kami akan disita.

“Kami tidak faham bagaimana kami boleh keluar dan masuk Singapura jika terdapat sebarang masalah pada kad Autopass tersebut.

“Kemudian hanya sebahagian pegawai imigresen sahaja yang mengingatkan anda untuk mengimbas kad, sebahagian lagi tidak —jadi kita perlu mengingatkan diri sendiri — rasanya bagi orang ramai yang datang buat kali pertama, pasti terlepas mengenai perkara itu (mengimbas kad),” luah kekecewaan mereka.

Menurut mereka lagi, satu emel rayuan telah dihantar kepada LTA, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas. Mereka berharap jika ada sesiapa boleh membantu, mereka sangat menghargainya.

Sumber Gambar: Instagram @the.timestamps

“Kami membuat video ini sebagai satu ‘peringatan’ kepada sesiapa yang mahu memandu sendiri masuk ke Singapura, pastikan sentiasa imbas kad Autopass di imigresen setiap kali masuk dan keluar negara itu.

“Pastikan juga untuk sentiasa semak sebarang mesej ralat. Kongsikan video ini kepada rakan-rakan yang mempunyai perancangan mahu memandu ke Singapura supaya mereka tidak didenda hampir RM10,000 atau lebih,” pesan The Timestamps.

Menerusi komen-komen yang dikongsikan pada video tersebut, ada beberapa individu turut pernah mengalami perkara yang sama.

Kebanyakkannya membayar denda seperti yang dikenakan.

Didapati ada juga beberapa individu meminta pihak berkuasa Singapura membuat semakan menerusi rekod pasport dan mereka tidak perlu membayar sebarang denda atau timbul isu berbangkit selepas itu.