Siapa sangka nama seseorang boleh dijadikan nombor plat kenderaan?
Itu yang terjadi apabila Pasukan Penyiasat dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sandakan menemui motosikal Yamaha dengan plat belakang bertulis “Siti Nabilah” menggantikan nombor pendaftaran sebenar.
Taktik yang disangka kreatif ini terbongkar dalam Op Samseng Jalanan (Motosikal) yang dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah pada 23 Mac lalu.
Walaupun pihak polis tidak menjelaskan siapakah Siti Nabilah atau hubungannya dengan pemilik motosikal, tindakan tegas tetap diambil kerana plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Apa Kesalahan Lain Yang Dikesan?
Selain plat ‘kreatif’ itu, operasi itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan lain.
Antara polis mengeluarkan 20 saman untuk pelbagai kesalahan berkaitan motosikal, JAS juga mengeluarkan 14 notis dibawah Seksyen 48 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan 9 kompaun dicadangkan di bawah Peraturan 4(2) akta sama.
17 motosikal diperiksa, termasuk ujian bunyi bising kenderaan.
Kenapa Nombor Plat Kenderaan Penting?
Nombor plat pendaftaran kenderaan (atau ‘nombor plat’) bukan sekadar gabungan huruf dan angka yang dipasang pada kereta atau motosikal.
Ia memainkan peranan penting dalam sistem penguatkuasaan undang-undang, keselamatan jalan raya, dan pentadbiran kenderaan bermotor.
Plat pendaftaran adalah identiti undang-undang kenderaan.
Mengubahnya bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga menyukarkan proses penguatkuasaan.
Jika berlaku kemalangan atau jenayah, plat palsu atau tidak sah akan menyukarkan siasatan.
Apa Hukuman Untuk Kes Seperti Ini?
Pemilik motosikal boleh dikenakan denda atau saman di bawah Seksyen 108(3)(f) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959 kerana menggunakan plat tidak mengikut spesifikasi.
Walaupun ada yang ingin ‘berbeza’ dengan plat unik, undang-undang tetap perlu dipatuhi.
Operasi seumpama ini akan terus dijalankan bagi memastikan keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang.