Pengurus Hajduk Split, Gennaro Ivan Gattuso ada cara tersendiri untuk meraikan kejayaan skuad kendaliannya menumpaskan musuh tradisi, Dinamo Zagreb 1-0 dalam saingan Liga Croatia pada Sabtu lalu.

Menurut sumber laporan media Croatia, 24sata, pengendali kelahiran Itali itu tidak bermasalah untuk menempah 35 biji iPhone 16 yang menelan belanja hampir RM200,000.00.

Baca Juga:

Ia bertujuan untuk menghadiahkan telefon pintar model terbaharu jenama terkenal dunia itu kepada barisan pemain dan kakitangan pasukannya.

Kemenangan penting hasil jaringan tunggal Marko Livaja pada minit ke-70 itu sekali gus meletakkan Hajduk Split di tangga kedua.

Mereka hanya ketinggalan menerusi perbezaan jaringan berbanding pasukan tangga teratas, HNK Rijeka dimana kedua-dua pasukan terikat dengan 14 mata.

Difahamkan, ia bukan kali pertama Gattuso menunjukkan sikap pemurahnya kerana sebelum ini beliau pernah secara peribadi memilih untuk membayar gaji para pemain sebaik sahaja meletakkan jawatan selaku pengurus kelab Greece, OFI Crete pada 2014.

Pada tahun 2019, apabila beliau mengucapkan selamat tinggal kepada AC Milan, Gattuso telah menolak untuk menerima bayaran pampasan pemberhentian bagi membolehkan pembayaran penuh selama 24 bulan kepada barisan kejurulatihannya.

Ketika gelombang pertama wabak covid dimana beliau membimbing SS Napoli, bekas pemain tengah itu tidak menerima gaji untuk membolehkan kelab membayar gaji barisan kejurulatihan serta pekerja am.

Soal kewangan nyata bukan masalah besar buatnya, malah Gattuso berpendapat bahawa beliau terlibat dalam bola sepak bukanlah kerana wang ringgit tetapi disebabkan jiwa yang kuat buat sukan ini.

 

 

 

 

Sumber