Pada masa kini ada pelbagai jenis gaya tudung dari yang biasa-biasa hinggalah kepada yang luarbiasa gayanya. Ada wanita yang tidak kisah tentang gaya tudung yang dipakai dan ada juga yang terlalu mengambil berat tentangnya. Ini kerana setiap gaya tudung yang dipilih mencerminkan personaliti diri si pemakainya.
Untuk mengetahui lebih lanjut, saya telah menemubual seorang perunding imej bertauliah baru-baru ini.
Dia ialah Cik Azlia Idha yang juga merupakan hijab stylist di Klinik Imej Malaysia.
Terdetik di hati saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang gaya tudung dan stail personaliti apabila saya merasakan 1 jenis personaliti itu hampir sama dengan 1 jenis personaliti yang lain. Jadi, saya bertanya kepada Cik Azlia dan dia sudi menerangkannya untuk pembaca Vocket semua.
Menurutnya, stail personaliti adalah kecenderungan seseorang dalam memilih gaya harian untuk dirinya. Ada 4 kumpulan personaliti yang akan dijelaskan di dalam artikel ini iaitu Natural, Romantik, Klasik dan Dramatik.
1. Natural
- Suka tudung yang ringkas, mudah dan jimat masa ketika bersiap
- Tudung sarung atau instant adalah pilihan utama
- Gemar memilih jenis kain seperti lycra atau bawal sebab selesa, mudah diurus dan tak renyah.
Wanita yang memilih gaya Natural menggemari warna lembut atau muted (suram) seperti kelabu, muted pink (pink belacan), cream dan sebagainya. Mereka akan memakai apa sahaja yang mudah dipakai dan cepat siap adalah kriteria tudung pilihan nombor 1 mereka.
Itu menyebabkan mereka kurang gemar teknik penggayaan shawl yang terlalu banyak ‘steps’ sebab bagi mereka agak kompleks dan memakan masa utk bersiap.
Mereka juga cenderung memilih aksesori (keronsang/pin tudung) yang ringkas dan kecil.
2. Romantik
- Suka lilit shawl gaya loose dan flowy
- Cenderung pilih stail feminin dan warna pastel
- Suka perincian seperti manik, bunga atau lace
- Gemar fabrik lembut seperti chiffon
Wanita Romantik gemar tampil dengan gaya tudung yang bersifat ‘loose’ dan ‘flowy’ kerana ia menyerlahkan unsur feminin kepada pemakai. Bagi mereka, tampil feminin juga perlu kelihatan bergaya. Jadi, mereka tahu bagaimana menggunakan selendang yang memiliki manik, bunga atau lace.
Biasanya mereka mempunyai koleksi tudung yang banyak terutamanya selendang (shawl) jenis fabrik lembut seperti chiffon. Mereka sangat menggemari gaya yang memerlukan aktiviti ‘lilit-melilit’. Bagi mereka itu adalah part of creativity dan tiada masalah ambil sedikit masa untuk bersiap.
Dari segi pemilihan warna, mereka gemar warna yang terang seperti merah, hot pink, kuning dan sebagainya, selain daripada warna lembut,
Kebanyakan wanita Romantik gemar memakai aksesori sebagai pelengkap gaya tudung mereka. Mereka akan rasa ‘kosong’ kepada penampilan jika tiada aksesori.
3. Klasik
- Suka gaya yang kemas, smart dan polished.
- Mementingkan kualiti material
- Suka tudung dan baju warna sedondon
Wanita Klasik lebih menonjol kepada wanita berkerjaya kerana mereka lebih mementingkan praktikaliti, dan keselesaan berbanding gaya.
Jadi, mereka kurang gemar gaya yang longgar dan beralun. Ini kerana mereka amat mementingkan penampilan diri yang kelihatan kemas, smart dan polished.
Dari segi warna, wanita Klasik cenderung memilih warna bold seperti merah dan biru. Mereka juga jenis setia pada satu jenama sahaja apabila mereka rasa sudah selesa dengan tudung tersebut.
4. Dramatik
- Gaya tudung unik, ada stail tersendiri
- Suka warna atau corak bold dan terang
- Gemar pakai aksesori pelengkap gaya
Wanita Dramatik adalah wanita yang berani kerana mereka suka bereksperimen dengan pelbagai gaya tudung yang tersendiri. Ini menunjukkan mereka juga kreatif dalam penggayaan tudung.
Kebanyakan wanita Dramatik ini cepat belajar teknik tutorial tudung dengan hanya melihat gambar, video atau mencipta gaya sendiri.
Ada sesetengah golongan Dramatik tidak mementingkan harga atau brand tudung. Yang penting adalah gaya tudung supaya mereka nampak unik dan stailo.
Kenapa Ada Personaliti Kelihatan Hampir Sama?
Personaliti Natural dan Klasik kelihatan seperti hampir sama. Tetapi ada perbezaan yang ketara, iaitu:
- Warna: Wanita Klasik cenderung memilih warna bold seperti merah dan biru berbanding wanita Natural. Wanita Natural gemar warna lembut atau muted (suram).
- Pemilihan Tudung – Wanita Klasik lebih gemarkan atau setia kepada satu-satu jenama yang dia sudah selesa.
- Tujuan pengayaan – Wanita Klasik amat mementingkan kelihatan kemas, smart dan polished. Wanita Natural lebih kepada laidback dan casual style.
Apapun ada sesetengah orang mempunyai gabungan lebih daripada 1 personaliti apabila menggayakan tudung.
Bagaimana Jika Ada Lebih Daripada 1 Jenis Gaya?
Sekiranya anda mempunyai beberapa ciri dalam beberapa kumpulan personaliti, berkemungkinan anda ada lebih daripada satu stail personaliti. Apapun ini adalah panduan ringkas sahaja. Dapatkan konsultasi bersama perunding-perunding imej yang bertauliah jika anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut dan tepat tentang stail personaliti anda.
Apa Gaya Tudung Anda?
Anda sudah baca artikel ini, adakah anda sudah tahu apakah gaya tudung dan personaliti anda?
Apa jua sebab pemilihan gaya tudung, pastikan ianya menutup aurat anda sebagai seorang Muslimah. Dan jangan cepat menghukum pula orang lain selepas mengetahui stail personaliti ini.
Sebut tentang menghukum orang, saya cadangkan anda lapangkan hati dan baca 23 Sebab Selebriti Malaysia Bertudung Ketika Sedang Popular ini. Moga ia boleh dijadikan iktibar mengapa kita berhijab.