Bahang yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba! Piala Dunia FIFA 2026 kini rasmi membuka tirainya, membawa keterujaan bola sepak tahap tertinggi dari benua Amerika Utara terus ke skrin anda.
Di Malaysia secara khususnya, warga tempatan sangat bertuah kerana boleh menonton secara percuma menerusi aplikasi RTM Klik dan MyGOV Malaysia.
Bagaimanapun, keistimewaan ini didakwa telah dicabuli oleh netizen seberang apabila tular hantaran individu yang menghebahkan untuk warganya turut menonton secara haram menerusi platform Malaysia berkenaan.
Difahamkan dengan penggunaan perisian VPN yang mana membolehkan mereka mengakses server Malaysia lalu menikmati siaran perlawanan Piala Dunia 2026 secara percuma di RTMKlik.
“Ni, kasi cadangan juga cukup pakai VPN Malaysia sudah boleh menonton 104 keseluruhan perlawanan piala dunia, mereka menstrim di web dan aplikasi RTMKlik.

Secara teknikalnya, aplikasi RTM Klik menggunakan sistem sekatan geografi (geo-blocking) yang mengesan alamat IP peranti pengguna bagi memastikan siaran tersebut hanya boleh ditonton di dalam Malaysia.
Bagaimanapun, sekatan ini berjaya dilepasi oleh pengguna luar negara dengan menggunakan perisian VPN yang disambungkan ke pelayan (server) di Malaysia.
Proses ini bertindak menyembunyikan lokasi sebenar mereka dan menggantikannya dengan alamat IP digital Malaysia yang baharu.
Kesannya, sistem RTM Klik terpedaya lalu menganggap pengguna luar tersebut berada di dalam negara dan membuka akses tontonan secara percuma.
Apabila ribuan pengguna luar menceroboh masuk melalui ‘laluan belakang’ ini secara serentak, ia membebankan kapasiti pelayan RTM, sekali gus menjadi punca utama mengapa kualiti siaran warga tempatan terganggu dan tersangkut.
Selepas taktik licik itu berjaya dikesan oleh warga tempatan, isu ini terus mengundang kemarahan orang ramai. Selain didakwa menjejaskan hak rakyat Malaysia, ia juga dikaitkan sebagai punca gangguan pada kualiti siaran.
Oleh itu, ada yang mencadangkan agar kerajaan untuk mengimplementasikan log masuk menggunakan MyDigital ID dalam mengesahkan identiti pengguna yang mengakses tontonan siaran perlawana Piala Dunia 2026 di platform terbabit selepas ini.