Siapa sangka lelaki yang mempunyai wajah yang garang dan bertubuh besar ini rupanya seorang yang berjiwa besar, baik dan sayangkan ibunya.

Muhammad Mikhael Sathayah, 39 atau lebih dikenali dengan nama ‘Muka Gangster’ di media sosial mula dikenali selepas kontennya bersama ibu mula tular di media sosial terutamanya di platform TikTok.

Baca Juga:

Hubungan baik Mikhael Sathayah dengan ibu, M Muniamah, 73, yang digelar ‘mak titew’ sangat erat biarpun berlainan agama kerana pemuda berasal dari Tambun, Perak itu memilih memeluk Islam.

Ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Al Bayan di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek semalam, Mikhael berkata ketika memeluk agama Islam pada tahun 2018, rakan-rakan Islam yang lain banyak memberi tunjuk ajar dan selepas semakin dikenali, beliau turut bertemu dengan ramai lagi muallaf yang lain.

@mukagangster

syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu tiga kali ganda dibandingkan ayah dalam hal penghormatan anak kepada kedua orang tuanya. #mukagangster #TMG #titew #viralpperak #beritatiktok #teammukagangster #trendingnewsmalaysia #anakmak @Team Muka Gangster .

♬ original sound – Muka Gangster – Muka Gangster

“Masa saya peluk agama Islam, rakan-rakan sekeliling ramai yang support dan sekarang ini, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan) pun turut sama-sama nak bantu muallaf seperti saya dari pelbagai aspek. Dengan rezeki yang saya terima sekarang ini, saya pun berniat untuk bantu asnaf dan muaalaf yang lain,” kata Mikhael.

“Sekarang ini saya ada dapat kerja review produk, bayaran itu nanti saya bagi balik ke mereka yang memerlukan, kanak-kanak. Sebab saya tak mampu nak keluarkan sumbangan yang banyak dari duit poket sendiri. Jadi duit yang saya terima itulah saya letak dalam sampul, bagi pada kanak-kanak,” tambahnya.

Ketika ditanya sama ada konten di platform TikTok miliknya kini menjadi satu medium dakwah, beliau tidak menolak dan berkata Tuhan yang ‘mudahkan cara’ dan gerak hati untuk hasilkan sesuatu kandungan.

“Saya ini duduk di Ipoh, nak datang ke Bandar Enstek ini pun saya tak tahu sebenarnya. Tapi sebab niat kita baik, Allah mudahkan perjalanan dan naik bas dan dapat saya berada di sini. Macam itulah juga kalau saya buat konten. Kadangkala perkongsian saya itu spontan dan ilham itu datang sendiri. Kita kena usaha dulu, Allah bagi kemudian,” katanya.

Rumah Terbuka Al-Bayan ‘kenakan syarat’ tetamu sarung busana tradisi etnik masing-masing

Selain meraikan para muallaf, Pertubuhan Akademi Al Bayan menampilkan kelainan apabila rumah terbuka tersebut turut dihadiri umat Islam daripada pelbagai kaum untuk memperagakan pakaian tradisi etnik masing-masing selagi ia mengikut syariat.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, Islam adalah agama yang bersifat universal atau ‘alamiyyah.

Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan bersama Mikhael Sathayah dan Puan Aisya Tan Yan Yin di Majlis Rumah Terbuka Al Bayan. Gambar: Pertubuhan Akademi Al Bayan

“Islam tidak membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam dan tidak pernah mengajar kita menolak asal-usul keturunan yang mana seorang mualaf perlu mengubah status bangsa sebaik memeluk Islam,” katanya.

Pada majlis itu juga Pertubuhan Akademi Al Bayan melancarkan produk Sambal Bilis TERIaak sebagai sumber bagi dana membina Kompleks Pendidikan Islam Akademi Al Bayan yang berpengkalan di Pegoh, Melaka.

Nur Mohammad Hadi berkata, pembangunan projek itu diwujudkan atas kesedaran bahawa kurangnya institusi pengajian yang menempatkan golongan anak-anak mualaf.

“Enggan bersandar kepada infaq orang ramai semata-mata, Al Bayan mengambil inisiatif mengeluarkan produk makanan sendiri iaitu Sambal Bilis TERIaak yang berpontensi sebagai janaan ekosistem Al Bayan,” katanya.