Syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) baru-baru ini menjadi perhatian selepas timbulnya tuduhan jenayah dan ajaran sesat yang dikaitkan dengan operasi mereka.

Namun, dalam satu kenyataan tegas, GISBH menafikan sebarang penglibatan dengan ajaran yang difatwakan sesat di negara ini.

GISBH bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan pihak berkuasa agama negeri-negeri.

Ini bagi memastikan segala isu diselesaikan secara telus dan adil, seiring dengan prinsip syarikat yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Sebelum ini tular beberapa kenyataan di media sosial apabila GISBH didakwa menggunakan agama dan kanak-kanak untuk kepentingan perniagaan, termasuk meminta derma.

Tuduhan ini turut memaksa Cawangan Khas (SB) Bukit Aman untuk memantau organisasi tersebut setelah menerima empat laporan polis berkaitan eksploitasi kanak-kanak di Selangor.

Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang melibatkan perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi.

Bagaimanapun, pihak GISBH dengan tegas menafikan tuduhan ini, menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bersifat fitnah yang bertujuan merosakkan reputasi mereka.

Menurut kenyataan rasmi, GISBH sentiasa mematuhi undang-undang di semua negara di mana ia beroperasi, dan meletakkan prinsip Islam sebagai teras operasi mereka.

Dalam kenyataan lanjut, GISBH juga menegaskan bahawa syarikat itu mengalu-alukan nasihat dan panduan daripada pihak berkuasa agama dalam usaha mereka untuk memperkukuhkan ekonomi halal, yang menjadi antara fokus utama syarikat.

Sebagai syarikat yang beroperasi di lebih 20 negara, GISBH memberi jaminan bahawa mereka sentiasa memastikan setiap operasi patuh kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, khususnya yang berkaitan dengan Islam.

“Kami memahami tanggungjawab besar yang kami galas dalam memastikan setiap operasi dijalankan mengikut piawaian yang ditetapkan dan kami komited untuk menjunjung tinggi akidah serta amalan Islam yang benar,” kata GISBH.