Syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) baru-baru ini menjadi perhatian selepas timbulnya tuduhan jenayah dan ajaran sesat yang dikaitkan dengan operasi mereka.
Lebih teruk lagi, rumah amal yang dikendalikan oleh GISB yang diserbu telah membongkar kegiatan jijik mereka yang mengamalkan didikan seksual luar tabii. Ramai kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa dan dicemari dengan doktorin bodoh itu.
Terbaharu, seorang pengguna X dengan nama samaran Lis berkongsi kisah pengalaman hidupnya yang pernah membesar dan berjiran dengan ahli GISB pada suatu ketika dahulu menerusi satu bebenang.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kedah sekitar tahun 2011. Lis bersama keluarga baru sahaja berpindah ke sebuah kawasan rumah kedai pada ketika itu.
Nak dijadikan cerita, dia berkenalan dengan anak kepada ahli GISB yang sebaya ketika di sekolah yang sama. Dia memberi nama samaran Amira kepada anak perempuan itu dan berkongsi sudah menjadi sahabat karib sehinggakan saling berkunjung ke rumah mereka.
Namun apa yang membezakan mereka dari orang biasa apabila Lis terperasan satu gambar Abuya dalam skala besar digantung pada ruangan rumah Amira.
“Tu Abuya. Nanti dia akan hidup semula untuk pimpin umat Islam,” kongsi Amira kepadanya ketika itu.
Dia yang naif hanya mendengar penerangan lanjur dari Amira yang keluarganya menyembah Abuya. Malah, Amira siap berbangga yang kakaknya pernah jumpa Abuya dan simpan tisu bekas lap air liur figura itu.
Tidak cukup sekadar itu, mereka turut menambah selawat kepada Abuya dan lebih teruk lagi semua perkara di dalam kehidupan perlu dikaitkan dengan sosok figura yang dianggap sebagai ketua agung.
Kemudian, dia bercerita perihal keluarga jirannya itu yang dikatakan mempunyai 10 orang anak dan semua anak perempuan diwajibkan kahwin sebaik menjejak umur sekitar 17 hingga 19 tahun.
Kesemua perkahwinan pula telah dirancangkan oleh keluarga dan wajib dipatuhi oleh setiap padanya walaupun ada yang dikatakan baru pertama kali bertemu pasangan lelaki di atas pelamin.
Amalan ini telah membuatkan Amira merasa geli dan berhasrat tidak mahu berkahwin seperti adik beradik yang lain.
Selepas selesai perkahwinan, semua wanita wajib melahirkan anak kerana mahu meramaikan lagi jemaah fahaman tersebut.
Lis mendedahkan walaupun anak mereka baik dan naif belaka, dia perasan yang keluarga mereka tidak menekankan pasal pembelajaran. Apa yang diterapkan oleh ibu bapa mereka adalah ajaran terbabit sudah memadai dan hal lain hanyalah duniawi.
Difahamkan walaupun sehebat mana pencapaian mereka di sekolah rendah, lambat laun akan dihantar ke pusat jagaan ikhwan secara automatik dan telah dilalui oleh semua adik beradik yang lain.
Selepas menjejak ke bangku persekolahan menengah, persahabatan mereka terputus begitu sahaja kerana Amira sudah pun dihantar ke pusat jagaan Ikhwan seperti yang diceritakan sebelum ini.
Dia mendedahkan Amira pernah mempunyai akaun media sosial (dibantu untuk cipta akaun oleh Lis sendiri) namun sudah tidak aktif lagi selepas masuk ke pusat jagaan tersebut.
Dalam bebenang lain, dia turut mendedahkan yang ibu bapa Amira seperti tidak gemar anak mereka bercampur dengan orang luar.
Dari segi hiburan pun telah ditentukan yang mana mereka hanya boleh mendengar lagu nasyid. Amira turut berkongsi tentang sebuah kumpulan nasyid yang bernama Mawaddah yang dikatakan di bawah naungan Ikhwan dan cara pemilihan ahli nasyid bukan sembarangan.
Di pengakhiran bebenang, Lis hanya berharap kawan karibnya dalam keadaan baik dan mahu jemaah GISB menerima balasan yang setimpal ke atas kesalahan yang dilakukan.
Dari dulu lagi aku dah syak depa ni mesti still amalkan ajaran sesat tu lagi tapi sebab depa banyak kali rebrand, orang pikir depa dah insaf. Nope. Let me share my experience waktu aku berjiran dengan family gisb ni. https://t.co/4Y9vn9iPhJ
— Lis (@Violettegnosis) September 11, 2024
Perkongsian individu ini ternyata meraih perhatian netizen dan ramai turut bersimpati dengan kisah hidup Amira yang cukup tragis kerana didoktorin dengan fahaman sesat.
Agak mengejutkan, ada beberapa netizen lain turut berkongsi mempunyai pengalaman saudara terdekat yang terjebak dengan ajaran sebegini.
Banyak spekulasi negatif terhadap syarikat GISB hangat bermain di media sosial dan semakin ramai tampil mendedahkan kegiatan mereka dari sisi dalam yang tidak pernah diketahui selama ini.