Pada pagi tadi polis telah membuat ‘Op Global’ yang mana seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal yang didakwa dikendalikan oleh ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH).
Memetik Berita Harian, operasi itu berlangsung bermula jam 6 hingga 11 pagi hari ini di 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
Baca Juga:
- Polis Banyakkan Sekatan Jalan Raya Sepanjang RX-Z Members 6.0
- Akaun TikTok Pemandu Bas Sekolah Lebih 640 Ribu Pengikut Lesap Selepas Ditahan Polis
- Video Polis Mat Saleh Guna Proton Waja Raih Perhatian
Siasatan awal mendapati modus operandi rumah amal itu mengamalkan didikan seksual luar tabii. Mangsa diajar dan dididik cara meliwat. Kemudian mangsa diliwat oleh penjaga, sebelum dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
“Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya dalam sidang media ‘Op Global’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari in.
Sementara mangsa yang tidak sihat pula tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.
Tambahnya lagi, pelaksanaan ‘Op Global’ membabitkan kekuatan 705 pegawai dan anggota polis.
Operasi itu turut dibantu 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.
Beliau berkata, hala tujuan siasatan ‘OP Global’ setakat ini menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.
“Dalam tempoh 2011 hingga 7 September lalu, polis telah menerima 41 laporan polis terhadap kumpulan perniagaan itu termasuk 19 di Selangor, Negeri Sembilan (13), Perlis (1), Kedah (3),Pulau Pinang (2), Kuala Lumpur (1), Melaka (1), Johor (5),Pahang (2), Terengganu (1) dan Sabah (1),” katanya.
Memetik laporan itu lagi, berdasarkan siasatan awal polis mendapati setakat ini tiada ahli politik terbabit dalam kegiatan kumpulan itu.
Seramai 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian (66 lelaki dan 105 perempuan berusia 17 hingga 64 tahun) turut ditahan.