Legenda Sang Gedembai dari Pulau Langkawi kini diberi nafas baharu menerusi sebuah persembahan seni eksperimental yang menggabungkan teknologi live coding, muzik elektronik dan pencahayaan imersif.
Dikenali sebagai The Living Code: Whispers of Stone, persembahan anjuran Goethe-Institut Malaysia dengan kerjasama kolektif kreatif KUANTUM I.O itu menghimpunkan penggiat seni dari Jerman, Asia Tenggara dan Malaysia untuk mentafsir semula kisah rakyat tempatan menerusi pendekatan digital.
Berlangsung selama dua hari di Yan Keng Benevolent Dramatic Association, Kuala Lumpur, acara tersebut berjaya menarik lebih 200 pengunjung yang berpeluang menyaksikan bagaimana sebuah legenda tradisional diterjemahkan ke dalam pengalaman audiovisual moden.
Antara penggiat seni yang terlibat ialah Flor de Fuego dan Alexandra Cárdenas dari Berlin, selain Inmintcondition dari Bangkok, Deep Space, Tsameera, Acidllama, Maria Aristya dari Bali, Olof van Winden dari Belanda, Mawiewowie dan Modulus.

Menerusi gabungan pengekodan secara langsung, eksperimen audiovisual, persembahan tradisional dan sesi perkongsian, acara ini menjadi platform pertemuan pelbagai disiplin seni serta membuka ruang kerjasama antara komuniti kreatif dari negara berbeza.
Menurut Pengarah Goethe-Institut Malaysia, Dr. Ingo Schöningh, inisiatif tersebut bukan sekadar memperkenalkan karya seni baharu, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan budaya antara Jerman dan Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa Goethe-Institut Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pusat pembelajaran bahasa Jerman, tetapi juga ruang pertemuan budaya dan pertukaran idea kreatif antara komuniti antarabangsa.
Sementara itu, Kurator Projek The Living Code, Mathews Ambrose berkata, projek berkenaan meneroka bagaimana teknologi live coding boleh digunakan untuk menghidupkan semula cerita tradisional melalui gabungan kod komputer, bunyi dan imej bergerak.
Selain persembahan utama, KUANTUM I.O turut menganjurkan Bengkel Pengekodan Secara Langsung di GMBB pada 15 November 2026 dengan kerjasama The Malaysia Electroacoustic Music Lab Society (MEMLab) dan Goethe-Institut Malaysia.
Bengkel yang dikendalikan oleh Flor de Fuego dan Alexandra Cárdenas itu disertai 30 peserta yang berpeluang mempelajari teknik live coding serta meneroka bagaimana kod komputer boleh menghasilkan bunyi, irama dan visual bergerak.
Dalam perkembangan lain, Goethe-Institut Malaysia turut bakal menganjurkan Pesta Filem Jerman KinoFest 2026 di Pulau Pinang dari 20 hingga 22 November, selain Festival Filem Sains yang berlangsung sehingga 20 Disember 2026.
Menerusi pelbagai inisiatif ini, Goethe-Institut Malaysia terus komited memperkukuh hubungan kebudayaan antara Jerman dan Malaysia, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama buat penggiat seni tempatan dan antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti akan datang, orang ramai boleh melayari www.goethe.de/malaysia.