Gergasi teknologi, Google telah memecat 28 pekerja yang didakwa terlibat dalam protes di pejabatnya kerana membantah kontrak dengan Israel, lapor The Verge melalui memo dalaman yang diperoleh.

Selain memecat, Google juga bertindak menggantung dan menahan sembilan individu yang terlibat dalam protes di New York dan California awal minggu ini.

Protes itu terjadi para pekerja mengecam tindakan Google yang bersetuju untuk menyertai Project Nimbus, sebuah projek bersama dengan kerajaan Israel dan Amazon bernilai $1.2 bilion.

Pekerja yang dipecat difahamkan adalah mereka yang berada di barisan hadapan demonstrasi, malah ada yang bekerja secara terus dengan Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Thomas Kurian.

Chris Rackow, ketua keselamatan global Google, melalui memo yang diedarkan untuk semua pekerja pada Rabu lalu mengecam protes tersebut sambil melabelkan tingkah laku tersebut sebagai tidak boleh diterima dalam budaya kerja syarikat.

Selain itu, Rackow memberi amaran bahawa jika aktiviti sedemikian dilakukan lagi, para pekerja bakal berhadapan dengan akibat yang sama.

Bagaimanapun, pemecatan ini telah mendapat kecaman daripada kumpulan “No Tech for Apartheid”,  penggerak di sebalik protes itu.

Dalam kenyataan balas yang disiarkan di Medium, kumpulan itu mengecam tindakan Google sebagai percubaan terang-terangan untuk menyekat perbezaan pendapat dan mendiamkan kebimbangan mengenai Projek Nimbus.

Mereka menggariskan hak pekerja Google untuk terlibat dalam bantahan secara aman sebagai cara untuk menangani rungutan yang berkaitan dengan keadaan pekerja mereka.

Anda boleh baca memo penuh Rackow di bawah:

Akibat serius untuk tingkah laku kacau ganggu

Googler,

Anda mungkin pernah melihat laporan protes di beberapa pejabat semalam. Malangnya, sebilangan pekerja membawa acara itu ke bangunan kami di New York dan Sunnyvale. Mereka mengambil alih ruang pejabat, merosakkan harta benda dan secara fizikal menghalang kerja Googler lain. Tingkah laku mereka tidak boleh diterima, sangat mengganggu dan membuatkan rakan sekerja berasa terancam. Kami meletakkan pekerja yang terlibat di bawah penyiasatan dan menghalang akses mereka kepada sistem. Mereka yang enggan keluar telah ditangkap oleh penguatkuasa undang-undang dan dikeluarkan dari pejabat.

Berikutan siasatan, hari ini kami telah menamatkan penggajian dua puluh lapan pekerja yang didapati terlibat. Kami akan terus menyiasat dan mengambil tindakan mengikut keperluan.

Tingkah laku seperti ini tidak mempunyai tempat di tempat kerja  dan kami tidak akan bertolak ansur. Ia jelas melanggar pelbagai dasar yang mesti dipatuhi oleh semua pekerja — termasuk Tatakelakuan dan Dasar kami mengenai Gangguan, Diskriminasi, Pembalasan, Piawaian Tingkah Laku dan Kebimbangan di Tempat Kerja.

Kami adalah tempat perniagaan dan setiap Googler dijangka membaca dasar kami dan menerapkannya pada cara mereka berkelakuan dan berkomunikasi di tempat kerja ini. Sebilangan besar pekerja melakukan perkara yang betul. Jika anda salah seorang daripada segelintir yang tergoda untuk berfikir bahawa kami akan terlepas pandang kelakuan yang melanggar dasar, fikirkan semula. Syarikat memandang serius perkara ini dan kami akan terus menggunakan dasar kami untuk mengambil tindakan terhadap tingkah laku yang mengganggu — sehingga dan termasuk penamatan.

Anda harus mengharapkan untuk mendengar lebih banyak daripada pemimpin tentang standard tingkah laku dan wacana di tempat kerja.