Selaras dengan pelancaran rasmi kali ini, Google turut tidak lupa membawakan kemas kini barisan gajet lain iaitu Pixel Watch 4 yang mana menjadi jam tangan pintar pertama yang menyertakan komunikasi satelit kendiri untuk versi selular.

Sudah pastinya, model kemas kini didatangkan denga pelbagai naik taraf termasuklah rekaan, teknologi dan paling utama difahamkan mudah untuk dibaiki oleh para pemilik di luar sana.

Selain itu, Google turut memperkenalkan fon telinga buds generasi terbaharu yang turut dikuasakan dengan kecerdasan buatan.

Berikut adalah spesifikasi Google Pixel Watch 4 dan Pixel Buds 2a yang baru dilancarkan pada pagi tadi:-

Google Pixel Watch 4

Google Pixel Watch 4 Dan Pixel Buds 2a Diperkenalkan Secara Rasmi
Sumber Gambar: YouTube

Google Pixel Watch 4, yang tersedia dalam saiz 41mm dan 45mm, dilengkapi dengan cip Snapdragon W5 Gen 2 yang lebih pantas. Jam tangan pintar ini memiliki paparan LTPO OLED dengan kecerahan sehingga 3000 nits.

Model 41mm menggunakan bateri 325mAh yang mampu bertahan sehingga 30 jam, manakala model 45mm dengan bateri 455mAh boleh bertahan sehingga 40 jam. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas, di mana ia boleh mencapai 50% dalam hanya 15 minit.

Pixel Watch 4 menggunakan cip Snapdragon W5 Gen 2 dan hadir dengan ciri kesihatan yang lengkap, termasuk pemantauan corak tidur dan pengimbas suhu kulit. Ia juga dilengkapi GPS dwi-frekuensi untuk pengesanan jarak yang lebih jitu, serta pilihan latihan dan sukan baharu seperti pickle ball.

Antara ciri utama yang menonjol adalah sokongan komunikasi kecemasan satelit pada model LTE, yang membolehkan pengguna meminta bantuan walaupun di kawasan tanpa liputan selular. Selain itu, ia turut menampilkan integrasi AI Gemini, yang membolehkan pengguna berinteraksi terus dengan AI tersebut.

Google Pixel Watch 4 ditawarkan di Malaysia pada harga bermula RM1,799.

Google Pixel Buds 2a

pixel
Sumber Gambar: YouTube

Pixel Buds 2a, yang merupakan fon telinga pertama di bawah siri-A dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC), direka untuk keselesaan dan kemudahan pemakaian. Dikuasakan oleh cip Tensor A1, fon telinga ini juga dilengkapi dengan sokongan AI Gemini, menjadikan ia lebih pintar dan responsif.

Integrasi kecerdasan buatan (AI) membolehkan pengguna menikmati kualiti audio panggilan yang lebih jelas. Selain itu, ia juga mempermudah akses kepada **Gemini** untuk pelbagai tugas, seperti merumuskan mesej dan mendapatkan jawapan kepada soalan.

Pixel Buds 2a hadir dengan rating ketahanan air dan debu IP54. Ia menawarkan masa penggunaan bateri selama 7 jam, yang boleh dilanjutkan sehingga 20 jam dengan menggunakan kerangka pengecasan. Di Malaysia, fon telinga ini akan dipasarkan pada 9 Oktober 2025 dengan harga RM649.