Chef selebriti terkenal, Gordon Ramsay secara rasmi diumumkan bakal menerajui barisan hos baharu bagi rancangan permotoran popular terbitan BBC, Top Gear, yang akan kembali bersiaran pada tahun 2028.

Penggambaran program tersebut dijadualkan bermula tahun hadapan bersama beberapa hos bersama yang masih belum didedahkan namanya, petik BBC.

Kemunculan semula ini dilakukan selepas rancangan berkenaan direhatkan selama empat tahun susulan kemalangan ngeri membabitkan bekas hosnya, Andrew Flintoff di litar ujian pada Disember 2022.

Ramsay, 60, yang juga pengumpul tegar kereta mewah seperti Ferrari, Aston Martin dan McLaren Senna menyifatkan pelantikan ini sebagai satu peluang mengujakan untuk membawa tenaga baharu buat generasi penonton masa kini.

Sementara itu, bekas hos ikonik Top Gear, Richard Hammond menyokong pemilihan Ramsay namun mendedahkan beliau sendiri telah menolak pelawaan BBC untuk kembali menerajui rancangan tersebut kerana mahu memberi laluan kepada era baharu.

Sebelum ini, pelawak Jimmy Carr turut dikaitkan dengan kerusi pengacara rancangan berkenaan namun dilaporkan telah menarik diri pada Selasa lalu.