Grab Holdings Limited (Grab) mengumumkan pengambilalihan 60 peratus pegangan saham kawalan dalam platform perkhidmatan kewangan digital, Neuroncredit Pte. Ltd. (Atome Financial), daripada Advance Intelligence Group Limited (AIGL) membabitkan transaksi tunai bernilai AS$1.49 bilion (RM6.1 bilion).
Penggabungan ini bakal mempercepatkan pertumbuhan segmen perkhidmatan kewangan Grab menerusi penawaran perkhidmatan Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL), pinjaman tunai pengeluaran, serta kad pembiayaan digital Atome Financial.
Langkah strategik ini menyasar untuk memperluaskan akses kewangan formal kepada jutaan pengguna yang tiada rekod kredit atau akaun perbankan tradisi di rantau Asia Tenggara, petik kenyataan rasmi Grab.
Pengarah Urusan dan Pegawai Operasi Utama Grab, Alex Hungate berkata, kepakaran Atome Financial dalam pemodelan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi penilaian risiko pembiayaan digital akan memperkukuh seluruh ekosistem Grab.
“Penggabungan ini mempercepatkan pertumbuhan dan ketersediaan perkhidmatan kewangan kami. Ini termasuk memperluaskan liputan kredit kepada pemandu dan rakan kongsi peniaga Grab yang sebelum ini bergantung kepada peminjam tidak berlesen,” katanya.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AIGL merangkap CEO Atome Financial, Jefferson Chen, menambah bahawa integrasi bersama ekosistem Grab membolehkan infrastruktur AI Atome Financial menjangkau liputan pengguna yang lebih meluas di lima pasaran utama iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, dan Thailand.
Butiran Strategik dan Kewangan Transaksi
Penguasaan Saham 60 Peratus (Fasa 1): Transaksi bernilai AS$1.49 bilion (RM6.1 bilion) ini merangkumi AS$0.26 bilion (RM1.06 bilion) sebagai modal pertumbuhan utama. Proses pengambilalihan dijangka selesai sepenuhnya pada suku ketiga 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Pengambilalihan Baki 40 Peratus (Fasa 2): Grab bersetuju untuk membeli baki pegangan saham dalam tempoh dua tahun selepas Fasa 1 selesai. Penilaian harga adalah berdasarkan prestasi sebenar syarikat dengan had nilai minimum AS$2.0 bilion (RM8.2 bilion) dan had maksimum AS$4.5 bilion (RM18.4 bilion).
Prospek Pertumbuhan 2028: Grab menyasarkan segmen Perkhidmatan Kewangan yang digabungkan bakal menjana EBITDA Terselaras sebanyak AS$500 juta (RM2.05 bilion) menjelang tahun 2028, dengan jumlah portfolio pinjaman kasar melebihi AS$6 bilion (RM24.5 bilion).
Sasaran Kumpulan Ditingkatkan: Pegawai Kewangan Utama Grab, Peter Oey, mengesahkan pengambilalihan ini dibiayai sepenuhnya menggunakan rizab tunai sedia ada. Sasaran EBITDA Terselaras Kumpulan Grab bagi 2028 kini ditingkatkan kepada AS$1.7 bilion (RM6.9 bilion) dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) hasil melebihi 30 peratus dari 2025 hingga 2028.
Menerusi penggabungan ini, Grab bakal menghubungkan ekosistem 54 juta pengguna aktif bulanan (MTU) syarikat dengan rangkaian lebih 30,000 jenama peniaga di bawah Atome Financial.