Pada malam semalam pengendali rangkaian pawagam terkemuka negara, GSC Cinemas mengumumkan bakal menutup operasi di Berjaya Times Square.

Menerusi kenyataan rasmi dibuat melalui media sosial, GSC Berjaya Times Square akan menayangkan filem terakhir pada 26 November dan akan dihentikan operasi sepenuhnya pada 27 November 2023.

Baca Juga:

“Ia adalah satu perjalanan yang luar biasa sejak kami mula-mula mengalu-alukan kehadiran anda pada 27 Januari 2005. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan anda yang tidak berbelah bahagi selama 18 tahun yang lalu. Senyuman, gelak-tawa, dan tepukan anda akan sentiasa bergema di hati kami.

“Kami menjemput anda untuk menikmati keajaiban filem di pawagam terdekat kami, GSC LaLaport BBCC, di mana dedikasi yang sama untuk memenuhi keperluan anda menanti di sana.

“Terima kasih sekali lagi kerana membenarkan kami menjadi sebahagian daripada perjalanan tontonan filem anda. Kami akan berjumpa anda tidak lama lagi di GSC LaLaport BBCC!” petik kenyataan rasmi GSC.

Sementara itu, GSC turut mengumumkan ada tiga lagi pawagam baharu akan dibuka di sekitar Lembah Klang tidak lama lagi — 163 Retail Park, Exchange TRX dan KL East Mall.

Sebelum ini pengendali rangkaian pawagam itu telah menutup operasi di Alamanda Putrajaya pada Ogos lalu selepas 15 tahun beroperasi di situ.

Penduduk sekitar itu boleh menonton pawagam GSC terdekat yang berada di IOI City Mall 1 & 2.