Impian Itali untuk mendapatkan khidmat Pep Guardiola berdepan halangan besar apabila jurulatih berprofil tinggi itu dilaporkan masih belum memberikan persetujuan untuk mengambil alih skuad Azzurri.
Menurut laporan La Gazzetta dello Sport, Guardiola tidak menutup pintu terhadap projek Itali, namun isu utama ialah komitmen kewangan dan keinginannya untuk berehat selepas meninggalkan Manchester City.
Guardiola dilaporkan mahukan pakej gaji sekitar €20 juta setahun, angka yang sangat tinggi untuk sebuah pasukan kebangsaan. Angka itu 2 kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan FIGC kepada Guardiola.
Guardiola sebelum ini menerima kira kira €23 juta setahun di Manchester City.
FIGC sedia ‘pecah tabung’
Namun, Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) dikatakan sanggup membuat pengecualian kewangan kerana melihat Guardiola sebagai calon yang mampu mengubah nasib bola sepak Itali.
FIGC sedia untuk membayar angka itu, walaupun pada masa ini, ianya dianggap terlalu tinggi.
Presiden FIGC, Giovanni Malago, sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Guardiola.
Itali melihat bekas pengendali Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City itu sebagai figura besar untuk membina semula pasukan selepas kegagalan layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Guardiola meninggalkan Manchester City selepas satu dekad penuh kejayaan, termasuk pelbagai gelaran domestik dan trofi Eropah. Selepas itu, beliau menyatakan hasrat untuk mengambil masa berehat sebelum kembali ke dunia kejurulatihan.
Namun, cabaran Itali mungkin cukup menarik buat Guardiola. Selain pernah beraksi di Serie A bersama Brescia dan Roma ketika zaman pemain, beliau juga melihat projek membangunkan semula sebuah kuasa bola sepak sebagai sesuatu yang istimewa.
Jika Guardiola menerima tawaran itu, beliau bakal menjadi jurulatih asing pertama Itali sejak era lama Azzurri, dengan misi besar mengembalikan identiti pasukan yang pernah menjadi antara gergasi dunia.
Tetapi buat masa ini, Itali masih perlu memujuk Guardiola — bukan sahaja dengan wang, tetapi juga dengan visi projek yang mampu meyakinkan beliau untuk kembali bekerja lebih awal.