Tindakan Jabatan Imigresen Malaysia menggunakan perkataan gratis menggantikan perkataan percuma dalam siaran rasmi jabatan kerajaan itu membuatkan netizen berbeza pendapat tentangnya.
Ada yang menyatakan bahawa, kenapa guna gratis yang menjadi bahasa seharian orang Indonesia merujuk kepada sesuatu yang diberikan tanpa bayaran.
Sedangkan Malaysia sudah ada perkataan percuma sebagai bahasa seharian.
Perkara ini juga membimbangkan segelintir netizen yang merasakan bahawa generasi pada hari ini semakin memperkasakan bahasa Indonesia berbanding Malaysia itu sendiri.
Misalnya, ramai menulis ‘karena’ berbanding ‘kerana’. Pengaruh media sosial, influencer dari seberang juga antara puncanya, menurut netizen.
Namun yang lebih membimbangkan apabila agensi kerajaan sendiri menggunakan ‘gratis’ berbanding ‘percuma’.

Namun ada yang mempertahankan tindakan Jabatan Imigresen tersebut dengan berhujah bahawa, perkataan gratis itu sendiri wujud dalam Kamus Dewan.

Perkara ini kemudian menarik perhatian pempengaruh Zhiddin Aziz yang menganggap kesalahan ini agak memalukan.
Zhiddin menyatakan bahawa: “Tidak semua perkataan yang ada dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka itu sesuai dalam penulisan.
“Kerana Kamus Dewan, kerja dia adalah merakamkan perkataan yang wujud dalam masyarakat.
“Misalnya gratis, yang turut dilabel IB oleh Kamus Dewan merujuk kepada perkataan Indonesia-Belanda. Perkataan ini dirakamkan dalam Kamus Dewan, mungkin kerana wujudnya kira kira 1.2 juta masyarakat Indonesia yang bekerja di negara kita.

“Jadi kelompok inilah yang membawa masuk perkataan ini ke negara kita.
“Sama juga dengan ‘gostan’ ada label BP, yang merujuk kepada bahasa percakapan.

“Bermakna, perkataan yang ada label sebegini tidak boleh digunakan dalam penulisan.
“Jadi tolonglah, saya meminta semua kementerian agar cakna dengan isu ini, dan jangan anggap isu bahasa ini perkara yang remeh.
“Kerana apabila kita anggap ianya kecil teranja-anja, apabila sudah besar terbawa-bawa. Bila dah sakit minta simpati, bila dah tua tak nak mampus sendiri.”
Setuju dgn Zhiddin Aziz. Berhentilah normalisasikan istilah Indonesia dalam penulisan rasmi. Adakah selepas ini akan ada pula yang guna "karena" berbanding "kerana"? Sekarang pun dah ada yang keliru sama ada nak guna "beza" ke "beda". pic.twitter.com/N9cKfbNJUT
— Saufy Jauhary 🇲🇾 (@SaufyJauhary) July 3, 2026