“Kerana jujur dan mengatakan kebenaran, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nak buang kerja saya. Oh Malaysiaku,” kata pemula daripada seorang guru yang lantang memperjuangkan nasib anak bangsa, Mohd Fadli Salleh.

Sejak malam semalam, netizen tidak putus-putus memberi sokongan kepada Cikgu Fadli yang memuat naik satu perkongsian menyatakan bahawa beliau menerima surat ‘dibuang kerja atau turun pangkat’ daripada KPM.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam perkongsian itu, Cikgu Fadli berasa sangat kecewa kerana surat tersebut diberikan kepadanya atas dasar beliau yang lantang berkongsikan cadangan penambahbaikan yang boleh dibuat oleh pihak KPM untuk keselesaan pembelajaran dan masa depan yang lebih cemerlang buat anak-anak di sekolah.

“Adakah saya seorang guru bermasalah di sekolah? Tidak, markah prestasi saya saban tahun melebihi 90%, bahkan mencecah 98%. Adakah saya selalu MC dan ponteng kerja? Juga tidak. Rekod kehadiran saya ke sekolah setiap tahun sangat cantik. Adakah saya tumbuk Guru Besar, bergaduh dengan rakan sekerja? Juga tidak, saya sangat disenangi rakan sekerja dan pentadbir,” tulis Cikgu Fadli.

“Jadi soalnya kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji puja sahaja.

“Saya berkata jujur tentang apa sampai nak kena buang kerja tu? Saya bercakap tentang :
1. Beg berat bahaya pada anak-anak kita
2. Silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri.
3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas.
4. Subjek yang banyak murid belajar.
5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi.
6. Adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak.

Itu yang saya tulis,” terang Cikgu Fadli secara tegas. Membuatkan dirinya lebih kecewa, beliau pernah ‘ditegur’ untuk pegawai di KPM untuk menyalurkan aduan ‘di saluran yang betul’ dan bukan menulis di Facebook atau media sosial.

Cikgu Fadli berkata sudah banyak kali beliau membuat aduan itu secara betul dan seperti biasa, cadangan dan komen beliau tidak didengari oleh pihak yang berkenaan. Jadi penulisan di Facebook adalah cara terakhir dan berkesan baginya.

“Jangan sembang saluran yang betul dengan saya. Sebab saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN,” katanya.

Perkongsian Cikgu Fadli itu telah menerima lebih 65,000 perkongsian di Facebook dan 160,000 sukaan. Di ruangan komen, ramai yang akan membantu Cikgu Fadli seandainya perkara itu tidak diselesaikan dengan cara baik dan pihak KPM berkeras untuk menamatkan perkhidmatan Cikgu Fadli.

Tengah malam semalam juga, Dr Radzi Jidin telah menyatakan kesudian beliau untuk bertemu Cikgu Fadli dan mendengar segala masalah yang ingin disuarakan oleh Cikgu Fadli. “Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” tulisnya.

Namun, Cikgu Fadli melihat ‘pelawaan’ itu sebagai satu bentuk damage control kerana beliau sebelum ini pernah sahaja tag Dr Radzi Jidin di perkongsiannya namun tidak diendahkan.

“Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.

“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?

“Rasanya sebab kebangkitan rakyat. Rakyat marah sebab isu ini melibatkan anak-anak mereka juga. Orang ramai marah sebab KPM nak buang kerja kerana kejujuran saya,” terangnya dalam perkongsian kedua tentang isu ini.

“Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik YB cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi. InsyaAllah one fine day kita akan jumpa.

Terima kasih kepada yang memberi sokongan. Suka saya ingatkan, saya tak ada buka apa-apa tabung. Kewangan saya masih stabil dan mampu untuk bayar kos lawyer dan mahkamah setakat hari ini. Masa depan saya tak pasti lagi, ” tambahnya lagi.

Cikgu Fadli berkata beliau melarang mana-mana ahli politik tidak kira dari parti mana untuk tidak menggunakan isu ini sebagai modal politik. Perjuangan beliau selama ini hanyalah untuk manfaat anak bangsa dan hanya mahu anak-anak menerima suasana pembelajaran yang lebih baik di masa akan datang. Semoga dipermudahkan urusan Cikgu Fadli dalam menuntut keadilan.