Kejadian luar biasa ini berlaku dan tular di TikTok selepas seorang guru, @cikgu_baby, berkongsi pengalaman yang mengejutkan ramai apabila ada pelajar yang menjawap peperiksaan dengan tulis lirik lagu.
Dalam video berdurasi 19 saat, guru tersebut meluahkan rasa kecewa apabila mendapati seorang pelajar memilih untuk menulis lirik lagu dalam kertas jawapan peperiksaan, bukannya menjawab soalan yang diberi.
Peperiksaan tersebut berdasarkan novel kesusasteraan Melayu, Tawanan Komander Caucasus, yang memerlukan pelajar mengarang esei.
Namun, pelajar terbabit membuat keputusan yang mengecewakan gurunya apabila dia menulis lirik lengkap lagu “APT.” yang dinyanyikan oleh oleh Rosé dan Bruno Mars.
Lebih mengejutkan, pelajar itu menulis lirik tersebut daripada awal sehingga akhir.
Perkara ini membuatkan guru berkenaan berasa amat kecewa dengan cara pelajar sekarang.
Dalam video yang kini meraih perhatian ramai, guru tersebut awalnya kelihatan teruja untuk menanda kertas jawapan, namun reaksinya berubah sebaik sahaja membaca ‘jawapan’ pelajar.
“Kami dah buat yang terbaik untuk sediakan platform pendidikan terbaik untuk mereka, tapi ini cara mereka balas usaha kami,” luahnya.
Guru itu turut menasihati pelajar untuk menggunakan tenaga dan usaha mereka secara lebih baik, terutama dalam akademik.
“Kalau usaha yang sama [hafal lirik lagu] digunakan untuk menulis karangan seperti ini, pasti cikgu bangga dengan kamu,” katanya.
Rata-rata netizen turut memberikan reaksi bercampur mengenai insiden ini.
Ada yang menganggap tindakan pelajar tersebut sebagai kelakar dan kreatif, tetapi ramai juga yang memahami perasaan guru tersebut yang kecewa dengan sikap anak didiknya.
“Kalau hafal isi novel macam hafal lirik lagu, pasti senang nak lulus,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Kelakar, tapi sedih jugak. Kesian cikgu,” komen pengguna lain.
Untuk rekod, isu tiadanya ujian di peringkat sekolah rendah telah membuatkan para guru meluahkan rasa kurang senang di media sosial.
Bagi mereka, ketiadaan ujian penting telah menyebabkan para pelajar menjadi terlalu santai dan tidak mementingkan pelajaran mereka.