Perbincangan mengenai rantaian bekalan makanan di media sosial baru-baru ini bertukar menjadi isu panas apabila timbul salah faham berikutan sebuah video yang menyentuh tentang sumber bahan mentah jenama terkenal, Adabi.

Video berkenaan yang pada awalnya hanya membincangkan penggunaan bahan mentah dari negara jiran, akhirnya meleret sehingga mencetuskan dakwaan segelintir netizen seberang bahawa jenama kegemaran ramai ini berasal dari Indonesia.

Kekeliruan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia yang rata-ratanya cukup mengenali jenama berkenaan sebagai produk tempatan.

Pekerja Tempatan Dedah Identiti Pemilik

Sebelum isu salah faham ini menjadi lebih parah, seorang pengguna media sosial yang bekerja di kilang berkenaan tampil memberikan respon awal.

Individu yang menggunakan nama akaun ketaqqq_ itu meluahkan rasa hairannya apabila jenama tempat tersebut cuba dikaitkan dengan negara luar.

“Selama aku kerja dekat Adabi Rawang ni, aku cuma tahu owner dia orang Kedah. Sejak bila dari Indonesia,” tulisnya ringkas bagi menjelaskan identiti sebenar pemilik syarikat tempat beliau mencari rezeki.

Respon Bersahaja Tapi Savage Dari Admin Rasmi

Melihat perdebatan tersebut semakin berlarutan di ruangan komen, pengendali akaun rasmi adabi_consumer akhirnya membuka mulut.

Tanpa perlu mengeluarkan kenyataan media yang formal, mereka memilih pendekatan yang cukup santai dan berbaur sindiran manja tetapi tepat mengenai sasaran.

“Iya laaa bang. Claim laa kedai tu pun dari sana. Btw Adabi memang ada di Indonesia tapi bukan asal dari sana,” balas admin rasmi syarikat berkenaan di ruangan komen.

Jawapan bersahaja itu bukan sahaja berjaya mencuit hati netizen Malaysia, malah secara tidak langsung memperbetulkan tanggapan keliru berkenaan kehadiran pasaran Adabi di negara jiran tersebut.

Sila Hadam Bukti Asli Dan Profil Syarikat

‘Hadam’ – Didakwa Berasal Dari Indonesia, Admin Adabi Tampil Kemuka Bukti Syarikat

Bagi memastikan tiada lagi spekulasi liar yang ditimbulkan pada masa akan datang, pihak pengurusan media sosial Adabi memuat naik satu hantaran susulan yang cukup padat dengan satu patah perkataan sahaja, iaitu “Hadam”.

Hantaran tersebut turut disertakan dengan gambar maklumat asas syarikat yang mengandungi profil rasmi organisasi berkenaan.

Berdasarkan butiran maklumat tersebut, syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. atau ACISB telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1984 dengan negara asal yang dicatatkan secara jelas iaitu Malaysia.

Syarikat pengilangan makanan dan barangan pengguna (FMCG) ini beroperasi secara berpusat di Rawang, Selangor, dan menjalankan perniagaan bagi pasaran tempatan serta pasaran eksport ke luar negara.

Antara Sumber Bahan Mentah Dan Identiti Jenama

Isu ini sebenarnya memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih memahami perjalanan industri pengeluaran makanan.

Dari sudut rantaian bekalan antarabangsa, adalah satu amalan biasa bagi syarikat FMCG di Malaysia untuk mengimport sesetengah bahan mentah pertanian seperti rempah-ratus tertentu dari luar negara, termasuk Indonesia, India, mahupun Vietnam.

Langkah ini diambil berikutan sesetengah hasil pertanian tidak dihasilkan dalam jumlah komersial yang mencukupi di dalam negara. Walau bagaimanapun, tindakan mengimport bahan mentah tidak sesekali mengubah status atau identiti asal syarikat berkenaan.

Segala proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kawalan mutu, pemprosesan utama, penyediaan resipi, hingga ke pembungkusan akhir dilakukan sepenuhnya di premis mereka di Rawang.

Oleh itu, dakwaan bahawa jenama ini berasal dari negara luar hanya disebabkan penggunaan sumber bahan mentah adalah tidak tepat sama sekali.

Tindakan pantas dan matang daripada pihak Adabi ini bukan sahaja berjaya menjernihkan keadaan, malah memberi kesedaran kepada pengguna media sosial agar lebih teliti sebelum membuat sebarang dakwaan tanpa fakta yang kukuh.