Bekas pemain skuad kebangsaan, Hairuddin Omar dilaporkan semakin hampir untuk menyertai staf kejurulatihan Peter Cklamovski bagi mengendalikan skuad senior negara.
Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, jurulatih yang mesra dengan panggolan Hai-O itu memuat naik status dengan ucapan terima kasih baru-baru ini.
Baca Juga:
- Peter Cklamovski Beri Sebab Terima Tawaran Sebagai Ketua Jurulatih Malaysia
- Permulaan Era Baharu Harimau Malaya Bersama PUMA
- ‘Indonesia Hanya Menang Pada Jersi, Malaysia Jauh Lebih Baik’
“Cabaran baru, tempat baru, suasana baru, target baru. Terima kasih di atas segala doa dan semua pihak selama ini. Semoga dipermudahkan, InsyaAllah”, tulisnya.
Pengalaman Hairuddin Omar Bersama Pasukan Negara
Hairuddin Omar mempunyai pengalaman bersama skuad kebangsaan dimana sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai pembantu jurulatih skuad B-19 Tahun kepada Bojan Hodak.
Hai-O kemudiannya menyertai Terengganu FC sebagai pembantu jurulatih dimana beliau pernah bekerjasama dengan pengendali skuad B-23 Tahun negara yang baharu iaitu Nafuzi Zain.
Peter Cklamovski secara rasminya diperkenalkan kepada peminat sebagai pengganti kepada Pau Marti Vicente dan akan berdepan tugasan pertama iaitu kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac ini.
Revolusi skuad kebangsaan kali ini menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik Peter dan Nafuzi sebagai jurulatih skuad senior dan skuad B-23 Tahun.
Tidak cukup dengan dua jurulatih ini, FAM turut melantik Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya dan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
Antara penglibatan terbesar Rob Friend ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Rob juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Dr. Craig pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
Selain itu, Dr. Craig turut merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.