Hakan Sukur merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat skuad kebangsaan Turkiye dengan 51 gol dihasilkan dalam 112 penampilan bersama pasukan tersebut.

Ia bagaimanapun hanyalah kisah lama buat Sukur yang kini menyaksikan perjalanan hidupnya telah berubah 360 darjah.

Antara ironi paling menyedihkan dalam kehidupannya sekarang sebagai individu dalam buangan dengan waran tangkap masih dikenakan terhadapnya.

Bekas penyerang itu kini menetap kira-kira 20 batu dari Stadium Levi’s di Santa Clara, Amerika Syarikat dimana lokasi yang menjadi antara venue Piala Dunia 2026.

Hakan Sukur Nikmati Hidup Berbeza

Beliau kini menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pemandu Uber, menjual buku serta melatih kanak-kanak bermain bola sepak, sambil menjalani kehidupan yang jauh lebih sederhana dan tertutup berbanding zaman kegemilangannya sebagai pemain.

“Kehidupan saya telah berubah dengan begitu ketara selama bertahun-tahun. Saya melalui tempoh yang amat sukar disebabkan keadaan yang saya anggap tidak adil.”

“Buat masa ini, saya kehilangan banyak perkara yang saya peroleh melalui bola sepak apabila semua aset saya dibekukan. Namun pengalaman itu mengajar saya erti dua perkara yang sangat penting iaitu ketabahan dan kesabaran.”

“Kini, tumpuan saya hanyalah kepada keluarga, anak-anak, aktiviti sukan yang saya ikuti serta golongan muda yang saya cuba bantu.”

“Walaupun melalui semua ini, saya tetap bersyukur, terus memandang masa depan dengan penuh harapan dan akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran serta menepis segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya,” ujar Hakan Sukur menurut sumber La Gazetta dello Sport.

Semuanya yang diluahkan Hakan Sukur itu terjadi selepas dirinya dianggap sebagai individu yang tidak dialu-alukan di Turkiye selepas beliau menentang Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang suatu ketika dahulu merupakan sekutunya ketika beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Segala pencapaian hebatnya sebagai pemain bola sepak seolah-olah dipadam daripada sejarah rasmi negara itu. Statistik tersebut tidak lagi dipaparkan dalam rekod selepas beliau dituduh terlibat dalam kegiatan keganasan kerana dikaitkan dengan gerakan Fethullah Gulen, tokoh ideologi Islam yang meninggal dunia pada 2024 dan dianggap dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa di Turkiye pada 2016.