Thailand memang tak asing lagi buat rakyat Malaysia terutamanya bila menyebut tentang destinasi percutian.

Hat Yai, Krabi, Phuket dan Bangkok, semua ni dah jadi nama yang cukup sinonim setiap kali cuti panjang menjelma.

Malah menurut statistik tahun 2024, rakyat Malaysia mencatatkan antara pelancong paling ramai masuk ke Thailand iaitu lebih daripada 3.7 juta orang!

Ia bagaimanapun bukanlah statistik yang pelik kerana negara jiran ni memang dekat dengan utara Semenanjung, kos pun tak terlalu mahal dan ada terlalu banyak tarikan menarik.

Wakil The Vocket juga tidak mahu melepaskan peluang untuk rasai sendiri pengalaman ke sana kira-kira setahun lalu. Bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi memandu sendiri dari Gombak ke Bangkok!

Mungkin ramai daripada anda sudah arif tentang prosedur masuk ke Thailand, tetapi artikel ini mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda yang tidak berapa mengetahui tentang apa diperlukan untuk ke sana dengan menggunakan jalan darat.

Misi Futsal, Lawatan Kelab & Jelajah Songkhla

Perjalanan ini bukan sekadar ‘jalan-jalan cari makan’. Tujuan utama penulis ke Bangkok adalah untuk buat liputan Piala Asia Futsal 2024, sertai sesi attachment dengan Gombak TOT United dan skuad Thammasat Stallion, serta buat tinjauan ke Pusat Latihan Songkhla FC.

Gombak – Chemor – Padang Besar: Kembara Bermula

Dengan menaiki Perodua Alza (2022), penulis bersama empat lagi rakan telah bertolak dari Gombak pada jam 3.00 pagi Khamis.

Jam 5.30 pagi, kami sempat singgah di Chemor, Perak yang merupakan kampung halaman penulis untuk berehat seketika sebelum menyambung kembali perjalanan setengah jam kemudian.

Dalam masa lima jam, kami sampai ke Napoh, Jitra untuk urusan insurans kenderaan masuk ke Thailand.

Anda perlu sediakan geran asal kenderaan dan dari situ, wakil kedai insurans akan bantu anda uruskan borang deklarasi kenderaan dan dokumen imigresen Thailand.

Kami mengambil pakej insurans Compulsory dan Voluntary bernilai RM159. Compulsory adalah untuk melindungi penumpang dan pemandu jika berlaku kemalangan, tapi tak ‘cover’ kenderaan.

Voluntary pula lengkap sidikit kerana ‘cover’ kereta kita, kereta orang dan juga penunggang motosikal.

Selain itu berita baik buat anda apabila  lesen memandu Malaysia adalah sah di Thailand, jadi tak perlu mohon lesen antarabangsa.

Untuk pengetahuan anda, dengan penguatkuasaan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) yang sudah diperkenalkan, anda perlu mengisi borang tersebut secara dalam talian dalam masa tiga hari sebelum tiba di Thailand.

Thailand

1,000KM Yang Tak Dilupakan

Selepas urusan imigresen di Padang Besar (Thailand) selesai, kami mula bergerak ke Bangkok pada 1.00 petang waktu Thailand (2.00 petang waktu Malaysia).

Perjalanan sejauh 1,000 kilometer tu memang panjang, tapi kami laluinya dengan sabar. Dah berbelas kali tidur-bangun-tidur semula, belum sampai lagi!

Had laju standard di jalan raya Thailand pun sekitar 90km/j, jadi memang bukan tempat untuk ‘berdesup’.

Setelah hampir 24 jam dalam kereta, akhirnya kami sampai ke Bangkok jam 6.00 pagi, terus check-in di Baron Residence Bangkok, Bangkapi (RM120/malam) sebelum pergi ke Huamark Indoor Stadium (bersebelahan Stadium Rajamangala) untuk aksi separuh akhir Piala Asia Futsal.

Bagi anda mahukan tempat penginapan lebih mesra muslim di kawasan berdekatan, anda boleh menginap di Muslimhome 2 yang hanya bersebelahan dengan ‘food court’ makanan halal ‘Mini Plaza Ramkhamhaeng Soi 59′.

Banyak pilihan makanan halal buat anda sekiranya menetap di kawasan tersebut.

Isian Minyak & Lebuh Raya

Harga minyak di Thailand? Memang mahal sikit. Di Chumphon, kira-kira selepas 5 jam perjalanan, kami isi minyak pada harga 43.40 baht seliter (RM5.66).

Hanya selepas empat hari trip, kami isi minyak sembilan kali, jumlah keseluruhan 7,000 baht (RM913.64).

Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Bangkok, kami lebih banyak guna lebuh raya berbayar dengan anggaran kos tol antara 500 hingga 1,000 baht (RM65.26 – RM130.53).

Tips Pemanduan & Kehidupan Jalanan Di Thailand

Sepanjang jalan di Thailand ada begitu banyak stesen minyak dimana jenama PTT jadi pilihan utama sebab ada surau, 7E dan tandas yang bersih serta mesra muslim (ada bidet).

Pemandangan sepanjang jalan memang best, banyak kedai jual buah-buahan dan produk IKS.

Papan tanda jalan pun lain apabila papan tanda dengan warna biru adalah untuk lebuh raya bertol, hijau pula untuk jalan biasa.

Banyak simpang U-turn dan jangan pelik tengok motosikal tanpa topi keledar atau ditunggang 3 orang dewasa. Itu memang perkara biasa sahaja di sana.

Yang menarik, bunyi hon hampir tak dengar walaupun ramai suka keluar masuk simpang sesuka hati.

Tapi bab tali pinggang keledar, Thailand memang tegas dimana penumpang belakang pun wajib pakai. Kalau tak pakai, anda akan disaman sebanyak 3,000 baht (RM391.53).

Alza Yang Tak Mengecewakan

Walaupun ramai mungkin ragu-ragu nak pandu sendiri ke luar negara, Perodua Alza ni membuktikan kemampuannya.

Lebih 3,000KM, tanpa sebarang masalah dan merupakan satu perjalanan yang cukup berharga buat kami lima orang.

Dengan izin Allah, kami selamat sampai semula ke Gombak pada jam 5.35 pagi Selasa.

Kalau anda terfikir nak ke Thailand naik kereta sendiri, jawapannya boleh sangat dan sangat berbaloi!

Yang penting, rancang perjalanan, jaga keselamatan, dan nikmati setiap detik sepanjang perjalanan ke sana.