Seorang pemandu Perodua Kembara sudah dikenakan tindakan selepas menghalang sebuah ambulans di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman dekat Jalan Kampung Entulang Bungkang, di sini, kelmarin.

Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie berkata, pemandu itu dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu Kesalahan Tidak Beri Laluan kepada ambulans.

“Pada Jumaat lalu sekitar jam 3 petang, tular sebuah kenderaan di media sosial yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.

“Sehari selepas kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan pemandunya,” petik satu kenyataan menerusi Facebook Polis Sri Aman.

Mathew turut mengingatkan agar semua pengguna jalanraya perlu mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya.

“Semua lalu lintas hendaklah apabila diberi amaran tentang kehadiran apa-apa ambulans, kereta bomba mahupun kenderaan polis hendaklah memberi laluan yang lapang kepada kenderaan-kenderaan itu,” katanya.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 53 saat di media sosial tindakan seorang pemandu Perodua Kembara yang menghalang laluan sebuah ambulans di Sri Aman.

Difahamkan menerusi kenyataan dalam video berkenaan seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Insiden itu berlaku gara-gara sikap pentingkan diri seorang pemandu yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans di Sri Aman, Sarawak pada Jumaat.

Tindakan pemandu Kembara itu mendatangkan kemarahan netizen. Ini kerana ambulans berkenaan sudah lama membunyikan siren kecemasan, tetapi pemandu Perodua Kembara itu masih berkeras tetap tidak mahu memberi laluan kepada ambulans tersebut.