Melancong dengan anak kecil sangat mencabar terutama sekali ketika mereka dalam fasa tantrum. Terbaharu, seorang pengguna Facebook @feardawooz telah berkongsi rasa kekesalannya terhadap syarikat penerbangan tambang murah baharu.

Menerusi catatan pengguna Facebook terbabit, dia bersama keluarga memilih syarikat penerbangan tersebut untuk penerbangannya dari Langkawi ke Kuala Lumpur berasa terkilan dengan layanan diterima mereka.

Baca Juga:

Menurutnya, anaknya yang berusia 2 tahun diminta untuk duduk di kerusi sendiri dan isterinya tidak dibenar untuk memangku anaknya itu, serta permintaan untuk mendapatkan seat belt extender juga ditolak.

Pramugari mengatakan bahawa tidak dapat memberikan seat belt extender disebabkan polisi mereka. Akan tetapi, dia mengatakan bahawa menerusi video syarikat penerbangan tersebut di media sosial mengatakan boleh meminta seat belt extender.

Dapat dilihat anaknya merengek dan menangis tidak mahu duduk di kerusi sendiri dan juga tali keselamatan longgar. Tambahnya, disebabkan anaknya tidak mahu duduk diam, maka juruterbang ada membuat pengumuman jika tidak memberikan kerjasama maka mereka terpaksa keluar daripada kapal terbang.

Susulan itu, isterinya masih cuba menenangkan anaknya dan memastikan anaknya duduk mengikut arahan. Beberapa minit selepas berlepas barulah anaknya kembali tenang.

Setelah tiba di KLIA, dia dan keluarga didatangi kakitangan keselamatan darat dan bertanya situasi yang berlaku dan memintanya untuk memadamkan video yang direkodnya di dalam kapal terbang.

Akan tetapi, dia tidak mahu memadamkan video tersebut walaupun telah dirayu. Malah, dia telah membuat aduan mengenai hal ini pada pengurusan tetapi tiada maklum balas.

Perkongsian lelaki ini telah meraih perhatian ramai pihak dan MYAirlines tampil dengan kenyataan rasmi selepas insiden ini tular di media sosial.

MYAirlines dalam satu kenyataan memohon maaf atas insiden yang berlaku dan mengatakan bahawa pihaknya hanya mengikuti garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Tambahnya, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut untuk mengenal pasti jurang dalam perkhidmatan mereka dan membuat tindakan pembetulan agar situasi seperti ini dapat dielakkan kelak.