Haneesya Hanee akui dia menggigil selepas menjayakan babak di kelab malam ketika membawakan watak Sally dalam drama TV3 yang sensasi iaitu Aku Bukan Ustazah.

Bukan setakat menggigil, Haneesya turut menangis selepas menjayakan babak itu kerana risau ianya akan mengundang kecaman netizen.

“Habis sahaja lakonan babak [di kelab malam itu], saya terus menggigil dan pergi ke tandas, boleh tanya pengurus dan emak,” tegas pelakon itu.

Haneesya Hanee menyatakan dia lambat mendapat skrip drama tersebut dan tidak menyangka ada banyak babak berhibur di kelab malam dan babak mabuk. Oleh sebab itu dia mulai berbelah bagi untuk menjayakan watak itu.

Semuanya gara gara kisah lalunya di mana dia pernah kehilangan gelaran juara Dewi Remaja 2018/19 yang ditarik balik selepas insiden kelab malam yang tular di media sosial.

Haneesya hanya sempat menyimpan mahkota kejuaraan Dewi Remaja selama 72 jam sahaja sebelum ianya dipulangkan semula gara gara video dia dan rakan rakannya berparti liar meraikan kejayaan tersebut.

Gelaran Dewi Remaja Haneesya Hanee Ditarik Balik

Mengakui perkara itu masih menghantui dirinya, Haneesya sebenarnya keberatan untuk melakonkan babak di kelab malam itu.

Dipetik dari BH Online, Haneesya berkata: “Saya sedar imej sudah buruk. Itulah realitinya. Saya trauma dengan netizen sebab kita tidak boleh jangka komen pelayar internet.

“Orang cakap kalau hendak jadi pelakon, kena kental dan hati tidak boleh cepat koyak. Tetapi itu kata mereka yang tidak duduk di tempat saya.

“Cuba duduk di tempat ini. Awak boleh faham betapa susahnya nak hadapi semua ini. Tipulah kalau komen itu tidak beri kesan.”

Haneesya bagaimanapun menyatakan dia agak lega kerana tidak banyak komen negatif yang dia terima sejak menjayakan watak Sally. Walaupun dia masih risau netizen akan mengungkit kisah silamnya dan mengaitkan watak Sally itu dengan masa lalu itu.

Haneesya pada masa yang sama mendedahkan dia sudah lama hilang ‘job’ namun kini dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya.