Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru sahaja mengeluarkan Laporan Survei Gaji & Upah 2025 yang membawa gambaran terbaharu mengenai pendapatan pekerja tempatan.
Secara keseluruhannya, penengah gaji bulanan negara menunjukkan peningkatan 5.3 peratus daripada RM2,793 pada tahun 2024 kepada RM2,940 pada tahun 2025.
Jumlah rakyat Malaysia yang menerima gaji turut meningkat daripada 10.24 juta kepada 10.38 juta orang, manakala purata gaji (mean) meningkat 4.1 peratus daripada RM3,652 kepada RM3,803.
Empat Wilayah Menguasai Kedudukan Tertinggi
Meskipun purata nasional menunjukkan trend positif, hanya empat negeri dan wilayah persekutuan yang merekodkan penengah gaji di atas paras RM2,940.
Putrajaya terus mendahului dengan penengah gaji bulanan meningkat daripada RM4,598 pada tahun 2024 kepada RM4,828 pada tahun 2025, bersama purata gaji mencecah RM5,417.
Kuala Lumpur mengekor di tangga seterusnya dengan lonjakan penengah daripada RM3,687 kepada RM3,938 serta purata gaji RM4,955.
Selangor turut mengekalkan prestasi kukuh apabila penengah gajinya naik daripada RM3,350 kepada RM3,547 dengan purata RM4,258, manakala Pulau Pinang berada di tangga keempat dengan penengah RM3,107 berbanding RM2,934 sebelum ini.
“Bila kita lihat jurang antara penengah RM2,940 dan purata RM3,803, ia jelas menunjukkan angka purata sebenarnya dipengaruhi oleh golongan berpendapatan tinggi,” kata seorang penganalisis pasaran kerja ketika mengulas laporan tersebut.
Senarai Penengah Gaji Bulanan Mengikut Negeri
Kuala Lumpur: RM3,938
Selangor: RM3,547
Penang: RM3,107
Melaka: RM2,773
Negeri Sembilan: RM2,710
Sarawak: RM2,707
Labuan: RM2,688
Johor: RM2,688
Pahang: RM2,578
Sabah: RM2,482
Kedah: RM2,255
Terengganu: RM2,195
Perak: RM2,173
Perlis: RM2,013
Kelantan: RM1,860
Cabaran Penurunan Gaji dan Lonjakan Luar Bandar
Di penghujung carta, Kelantan merekodkan penengah gaji bulanan terendah pada RM1,860.
Situasi ini mewujudkan jurang sebanyak RM2,968 jika dibandingkan dengan wilayah tertinggi, Putrajaya.
Sungguhpun sebahagian besar negeri menunjukkan peningkatan, tiga kawasan mengalami penurunan penengah gaji. Labuan mencatatkan penurunan terbesar daripada RM2,931 pada tahun 2024 kepada RM2,688 pada tahun 2025.
Perlis turut merosot daripada RM2,038 kepada RM2,013, manakala Kelantan susut daripada RM1,914 kepada RM1,860.
Di sebalik cabaran tersebut, berita baik hadir dari kawasan luar bandar yang mencatatkan lonjakan paling ketara, di mana penengah gaji bulanan naik daripada RM1,698 kepada RM2,035.