Pernah tak anda rasa macam wujud satu ‘peraturan khas’ yang tak tertulis di jalan raya Malaysia ni: Makin kecil kereta anda, makin berani kereta besar nak ‘cucuk’ dari belakang?
Baru-baru ini, seorang pengguna Threads telah berkongsi luahan dirinya sebagai pemilik Axia yang menjejak hampir setahun mengalami masalah ‘mental’.
Mental terganggu
Bukanlah isu kesihatan mental disebabkan penyakit, namun ia berpunca daripada letih dengan layanan dan tekanan pengguna jalan raya terhadapnya.
“Kepada pengguna Axia seluruh Malaysia, korang memang kental. Aku yang baru pakai hampir setahun ni pun dah nak mental. Diskriminasi terhadap Axia memang lain macam.”
Tambahnya, tidak kira kereta atau motor, kedua-dua jentera didakwa mempunyai diskriminasi yang tinggi terhadap pemilik Axia.
“Axia bukan untuk yang lemah”, ujarnya.
Rentetan daripada itu, pemilik Axia lain turut bersetuju dengan kenyataan itu dan sedia berkongsi kisah pengalaman peribadi menghadapi masalah diskriminasi dek kerana memiliki kenderaan yang kecil di atas jalan raya.
“Kereta mahal main masuk lane tak bg signal , kereta lain rilek jer. Tapi, kalau axia even dah bg signal punya lama , nak masuk lane kereta lain lagi bwk laju tak kasi masuk lane hm,” ujar seorang wanita.
“Ni sangat betul. Lepas tukar Axia kepada City, kurang dapat high beam dekat lane kanan highway,” seorang lain yang mengiyakan dan mendakwa terdapat perubahan layanan selepas menukar kereta.
“Myvi pun sama je..bila kereta rahmah2 ni org pandang enteng,” pemilik kereta bersaiz kecil lain.
“Saya banyak pengalaman buruk dengan Axia sampai trauma.. dah la bawak anak-anak… Sekarang dah tukar kereta besar memang lega… Dah tak de rasa takut nak naik kereta… Dulu lebuhraya pun takut nak masuk.. trauma,” keluh seorang lagi.
Selain tidak diberikan laluan, ramai juga yang mendakwa sering dipancarkan lampu tinggi oleh kenderaan lain dan dipaksa memberikan laluan kepada kereta lain yang lebih besar.
Kesimpulannya, fenomena ‘kasta’ saiz kenderaan di jalan raya Malaysia ini adalah satu realiti pahit yang masih menebal.
Hakikatnya, keselamatan dan budi bahasa di jalan raya tidak seharusnya diukur pada saiz, enjin, atau harga kenderaan yang dipandu. Kenderaan kompak seperti Axia mempunyai hak yang sama rata di atas jalan, dan pemiliknya tidak wajar dijadikan mangsa buli emosi mahupun sasaran pemanduan melulu.