Baru-baru ini tular satu klip video berdurasi hampir satu minit yang memaparkan seorang remaja dibelasah oleh sekumpulan remaja lain.

Menurut kenyataan rasmi Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pelajar berusia 15 tahun itu dibelasah sekumpulan remaja lain dalam kejadian 9 Ogos lalu hanya kerana berkawan dengan teman wanita salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek utama tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai berkawan dengan teman wanitanya.

https://twitter.com/ciraplaici/status/1691064454849732608?s=20

“Polis mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan polis pada jam 4.09 petang semalam oleh mangsa yang mendakwa dia dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk beberapa kali di perut, belakang badan, paha dan lengan kiri serta kanan.

“Suspek adalah enam remaja lelaki tempatan dan seorang remaja lelaki warga asing semuanya berusia antara 14 hingga 17 tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku di tempat awam dekat kawasan Taman Bestari Indah di sini, jam 3 petang 9 Ogos lalu dan pengadu mengalami cedera lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha sebelah kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Polis menyerbu enam lokasi berbeza di sekitar daerah ini antara jam 5.30 petang hingga 9.34 malam semalam

“Hasil serbuan berjaya menahan enam suspek lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Kita turut membuat beberapa rampasan iaitu sehelai jersi warna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang warna biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan sebuah telefon bimbit,” katanya.

Menurut Raub, tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan tempoh reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun keseksaan.