Langkah berani rangkaian kedai serbaneka terkemuka Jepun, FamilyMart, memperkenalkan kod pakaian baharu yang lebih fleksibel baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Peluang Kerja Lebih Inklusif Dan Mesra Kepelbagaian

Menerusi polisi baharu ini, FamilyMart membenarkan para pekerja memilih warna rambut secara bebas serta mengizinkan pekerja wanita beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.
Langkah ini turut diiringi dengan pembaharuan pakaian seragam rasmi buat kali pertama selepas 10 tahun, yang kini menampilkan rekaan T-shirt dan pilihan lengan panjang.
Bagi mengukuhkan pengambilan tenaga kerja, syarikat juga memperkenalkan sesi temuduga secara dalam talian dan rakaman video, di samping merancang perluasan jenama pakaian Convenience Wear serta barangan haiwan peliharaan.
Reaksi Berbelah Bahagi Dan Pertikaian Isu Kebersihan
Walau bagaimanapun, pembaharuan tersebut menerima reaksi berbelah bahagi daripada sebilangan netizen di Jepun.
Terdapat pengguna media sosial yang mempertikaikan isu kebersihan tudung kerana dipakai dari luar, manakala ada juga yang meluahkan rasa tidak puas hati dan mendesak kempen boikot kerana menganggap syarikat tempatan tidak sepatutnya terlalu mengikut kehendak tenaga kerja asing.
“Tak bersih, saya tidak akan datang lagi Family Mart.”
“Nampaknya Famima (merujuk Family Mart) telah membenarkan pemakaian tudung. Oleh itu, saya tidak akan beli apa pun dari Famima.”
“Sebelum ini Uniqlo, sekarang Family Mart pula. Sejujurnya saya tak selesa dengan trend di mana syarikat Jepun mula mengadaptasi budaya luar ke dalam syarikat dan bukan sebaliknya,” demikian luahan yang dilontarkan oleh sejumlah pengguna Threads dari Jepun
Respon Tenang Dan Sokongan Daripada Pengurusan
Tampil mengulas isu berkenaan, wanita yang menjadi model tudung bagi kempen FamilyMart tersebut menjelaskan bahawa beliau sudah menjangka perkara ini akan mendapat perhatian ramai.
“Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih atas segala kasih sayang dan sokongan yang diberikan. Jangan bimbang, saya berada dalam keadaan baik sahaja,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.
Suami kepada model berkenaan turut tampil memberikan pandangan dan menganggap reaksi negatif sesetengah pihak sebagai sesuatu yang tidak perlu dibesar-besarkan.
Menurut beliau, pengalaman isterinya di tapak pelancaran sangat positif dan mereka menerima sokongan yang sangat baik daripada warga kerja FamilyMart, malah berpeluang duduk satu meja serta berbual bersama Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.
Inisiatif ini membuktikan kesungguhan FamilyMart dalam merintis persekitaran kerja yang lebih mesra kepelbagaian di Jepun, sekali gus menunjukkan bahawa langkah ke arah inklusiviti memerlukan keberanian untuk mendepani perubahan zaman.