Setiap pembelian sesebuah barangan elektronik, biasanya ia didatangkan dengan waranti dari pihak pengeluar selama setahun. Selepas itu, pembantu penjual pula akan menawarkan pelan pelindungan tambahan kepada pelanggan yang berminat.

Memandangkan waranti ini dilihat berfungsi seperti insurans, timbul persoalan, adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya?

Menerusi akaun X bernama Xavier Naxa, dia telah mengajukan tiga soalan kepada Mufti Selangor dalam mendapatkan jawapan demi kemaslahatan umat Islam di luar sana.

Sumber Gambar: Tom’s Guide

Menurut soalan yang diajukan menerusi emel Mufti Selangor, ada beberapa situasi yang diberikan. Untuk yang pertama, apakah hukum seseorang membeli iPhone dan ditambah caj RM200 iatu pelan pelindungan yang mana dibayar sewaktu pembelian?

Seterusnya, adakah dibenarkan untuk seseorang membeli pelindungan pada tahun kedua disebabkan risau kos baik pulih yang mahal?

Akhir sekali, adakah seseorang boleh membeli tambahan waranti selepas sebulan membeli iPhone?

Berikut merupakan jawapan yang dikongsikan oleh Pejabat Mufti Selangor berhubung soalan-soalan yang diajukan.

“Dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut standard warranty. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah diharuskan.

“Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru.

“Ini adalah tidak harus kerana mengandungi gharar. Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat.

“Kebanyakan ulama kontemporari memutuskan ia haram. Ini kerana pembelian tersebut melibatkan ketidakpastian sama ada sesuatu yang dibeli itu ada atau tidak atau berlaku atau tidak.

“Dengan kata lain, kerosakan adalah suatu yang tidak pasti akan berlaku, namun bayaran sudah dibuat. Inilah dipanggil ketidakpastian atau gharar dan perjudian atau qimar, satu bentuk judi yang diharamkan. Asasnya seperti insuran konvensional.

Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan. Berdasarkan ketiga-tiga situasi adalah dalam kategori yang mana ia adalah diharamkan sebagaimana sebab-sebab di atas.

Pengharaman ini sama kaedahnya sebagaimana haramnya insurans disebabkan gharar (ketidakpastian) dan qimar (perjudian). Adapun sekiranya ia didasari dengan takaful, maka diharuskan atas aqad tabarruq.

Secara ringkasnya, harus hukumnya bagi waranti yang biasa. Sementara, membeli waranti secara berasingan adalah tidak dibenarkan kerana ia mengandungi unsur gharar.

Sumber