Pelepasan ikan bandaraya ke dalam sungai di Malaysia sering berpunca daripada sikap pemilik akuarium yang tidak bertanggungjawab.
Tindakan ini membawa bahaya besar kerana ikan bandaraya merupakan spesies invasif yang mendominasi ekosistem dengan memakan telur ikan asli, selain tabiat menggali lubang di tebing yang menjadi punca utama hakisan sungai.
Baca Juga:
- ‘Batal Puasa Tak Cucuk ‘Mounjaro’?’ – Ini Penjelasan Jabatan Mufti WPKL

- ‘Tindakan Boikot Terhadap KK Mart Bertentangan Dengan Sunnah Rasulullah SAW’ – Mufti Perak

- ‘Tak Boleh Terima Sumbangan Hasil Sumber Haram Influencer, Founder Bisnes’ – Mufti Kelantan

Menerusi kemas kini terbaharu daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), hukum melepaskan ikan bandaraya ke sungai dalam keadaan mengetahui risiko kemudaratannya adalah — haram.
“Hal ini demikian kerana kewujudan spesies ikan ini secara berleluasa boleh mendatangkan kemudaratan terhadap alam sekitar.
“Oleh itu, perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak yang menuntut kepada manusia agar tidak melakukan kezaliman dan kerosakan di bumi sama ada di daratan mahupun di lautan serta memelihara alam dengan sebaiknya,” kata Jabatan Mufti WPKL.
Bagaimanapun, sekiranya individu yang telah melepaskan haiwan berkenaan sebelum mengetahui kemudaratannya adalah dimaafkan kerana tiada pengetahuan tentang perkara tersebut.
Cara melupuskan Ikan Bandaraya
Memetik kenyataan itu lagi, setiap pemilik ikan bandaraya perlu memiliki kesedaran dengan memahami terlebih dahulu ciri-ciri haiwan berkenaan sebelum membuat keputusan untuk melepaskannya ke dalam sungai, tasik, kolam dan seumpamanya.
“Lebih-lebih lagi, kajian-kajian saintifik terkini juga menunjukkan bahawa ikan bandaraya mempunyai manfaat yang tersendiri seperti bahagian isinya boleh menghasilkan kolagen untuk merawat penyakit, boleh diproses untuk menjadi baja tanaman, palet makanan haiwan dan sebagainya.
“Dengan itu, individu yang memiliki ikan bandaraya boleh melupuskan haiwan berkenaan dengan cara menghantarnya kepada pihak-pihak yang menawarkan khidmat pelupusan,” jelas Jabatan Mufti WPKL.