Jas Jabar, seorang ibu berusia 77 tahun, masih menyimpan harapan untuk bertemu semula dengan anak sulungnya, Abdul Khalid Deman, yang hilang tanpa jejak sejak 1988.
Menurut NST, Abdul Khalid, yang kini berusia 57 tahun, kali terakhir dilihat oleh keluarganya pada tahun 1988 setelah kembali dari pengajian di Amerika Syarikat.
Kisah Abdul Khalid yang menyayat hati ini kembali mendapat perhatian setelah dikongsi oleh anak saudaranya di TikTok, menarik perhatian ramai dan membawa kepada perhubungan dengan beberapa rakan lamanya.
Namun, sehingga kini, anak sulungnya yang hilang tiada petunjuk yang konkrit mengenai keberadaan beliau.
Jas Jabar dan keluarganya tidak pernah menyimpan dendam atau marah terhadap Abdul Khalid walaupun telah bertahun-tahun berlalu.
“Abang Long, baliklah, mak rindu. Kami tidak kisah apa yang berlaku dulu. Kami tidak marah, bahkan arwah ayah pun tidak marah. Sebelum mak tutup mata, mak harap dapat jumpa kamu,” luah Jas dengan penuh emosi.
Abdul Khalid meninggalkan Malaysia pada tahun 1985 untuk melanjutkan pengajian tinggi di University of Southwestern Louisiana.
Beliau pernah pulang dua kali, namun selepas kunjungan terakhir pada 1988, beliau hilang tanpa berita.
Usaha keluarga untuk mencarinya tidak pernah terhenti. Mereka telah menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan bahawa Abdul Khalid tidak pernah kembali ke Malaysia sejak itu.
Mara juga telah menyiarkan maklumat mengenai pelajar yang hilang di televisyen, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
Rohani, 57, adik kepada Abdul Khalid, menggambarkan abangnya sebagai seorang yang berhati lembut dan pendiam.
“Kami tidak berhubung dengan Abang Long semasa dia di luar negara kerana pada masa itu, komunikasi tidak secanggih sekarang. Dia pernah menghantar surat sekali semasa awal pengajiannya,” jelas Rohani.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menyelesaikan pinjaman pelajarannya tahun lepas, keluarga Abdul Khalid masih belum mendapat sebarang jawapan.
“Kami tidak tahu sebab Abang Long menghilang, dan kami tidak mahu membuat spekulasi. Kami sangat berharap mendapat berita tentang Abang Long dan dapat bertemu semula jika dia masih ada di dunia ini. Itu adalah doa harian kami,” kata Rohani.
Keluarga Abdul Khalid masih berharap ada sesiapa di luar sana yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya. Mereka merayu sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Rohani di 019-6862407.