Kenaikan harga arang batu sehingga mencecah US$148 (RM629) setan pada 10 Sept 2026 memberi kesan langsung kepada kos penjanaan elektrik, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, petik BERNAMA.

Beliau berkata harga arang batu meningkat secara sederhana pada Ogos kepada US$130.67 (RM532.82) setan daripada US$129.63 (RM528.58) setan pada Julai, manakala permintaan puncak harian elektrik mencapai 21,949 megawatt pada 9 Sept, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata pada Ogos.

Akmal Nasrullah berkata peningkatan permintaan itu bagaimanapun masih berada dalam lingkungan margin rizab yang boleh ditampung oleh sistem bekalan elektrik sedia ada.

“Kerajaan akan terus memastikan kapasiti penjanaan dan sistem bekalan elektrik mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi, memenuhi keperluan rakyat dan memperkukuh daya tahan sistem tenaga negara,” katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai krisis tenaga global yang disiarkan menerusi TV1 baru-baru ini.

Selain arang batu, harga minyak mentah dan gas asli turut meningkat, dengan purata harga minyak mentah Brent pada Ogos naik 8.9 peratus kepada US$90.88 (RM370.57) setong daripada US$83.42 (RM340.15) setong pada Julai.

Sumber