Layak Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam 42 tahun, mencatat kemenangan ke atas pasukan ranking bawah 100 buat kali pertama dalam 19 tahun, menang dua perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia dan mencapai ranking FIFA tertinggi dalam hampir 20 tahun.

Harimau Malaya sedang menikmati era yang belum pernah dilihat rata-rata peminat bola sepak tempatan moden. Setelah menempuh kegagalan demi kegagalan untuk beberapa dekad, bola sepak Malaysia dilihat berada pada landasan terbaik untuk menjadi sesuatu yang dibanggakan.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Ranking pasukan kebangsaan juga dijangkakan melonjak dan sasaran menjadi pasukan ranking bawah 100 bukan sekadar mimpi lagi. Pasukan negara dijangka berada pada kedudukan pada tangga 129 dalam FIFA Rankings seterusnya, naik hampir 50 tangga berbanding beberapa tahun lepas.

Pada waktu pujian diberikan kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon, pemain-pemain dan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, seorang individu yang kurang disebut-sebut peminat adalah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang telah merevolusikan bolasepak tanah air sejak penglibatan Baginda pada tahun 2013.

Bagi pemain-pemain dan jurulatih, impak Tunku Mahkota Johor jelas seperti yang dikatakan pemain kebangsaan dan Selangor FC Faisal Halim selepas kelayakan Piala Dunia, Baginda telah memulakan kebangkitan bolasepak Malaysia. KPG juga telah berulang kali menyebut JDT dan DYAM Tunku Ismail antara penyumbang terbesar Harimau Malaya.

Benar tempoh setahun DYAM Tunku Ismail sebagai presiden FAM tidak membawa hasil atas padang tetapi adakah masalah kemerosotan bola sepak Malaysia yang belum pernah layak secara merit ke Piala Asia dan Olimpik sejak 1980 boleh diselesaikan dalam tempoh setahun? Adakah situasi tersebut boleh berubah dalam sekelip mata? Untuk perbandingan, pasukan kebangsaan terbaik Asia Tenggara ketika ini iaitu Vietnam memasuki Top 100 dunia pada tahun 2019, hampir 10 tahun selepas memulakan sistem pembangunan yang terancang. Jerman pula mengubah struktur bola sepak 10 tahun sebelum memenangi Piala Dunia 2014. Masa dan kesabaran, itu yang diperlukan.

Pasukan Malaysia pada era DYAM Tunku Ismail sebagai presiden FAM masih menggunakan pemain tempatan yang telah melalui proses pembangunan bola sepak sebelum era JDT. Pemain kacukan tidak ramai dan tiada langsung pemain naturalisasi. Untuk perbezaan, Harimau Malaya menggunakan 9 pemain kacukan dan naturalisasi apabila mengalahkan Kyrgyzstan dan Chinese Taipei dalam kelayakan Piala Dunia manakala 8 pemain dari JDT yang beraksi.

Ia bukan sesuatu yang boleh dinafikan ataupun tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Tunku Ismail merupakan pemangkin bola sepak Malaysia dengan mewujudkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kejayaan Harimau Malaya masa kini adalah hasil jangka masa panjang.

Ia bukan satu kebetulan bahawa kejayaan pasukan Harimau Malaya seiring dengan zaman kemunculan pasukan Harimau Selatan sebagai kuasa besar. Mengikut Opta Power Ranking, JDT kini adalah kelab terunggul di Asia Tenggara dan berada di kedudukan ke-23 di Asia. JDT juga telah layak ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC 2022.

Sejak 2013, JDT telah sedikit demi sedikit menaikkan mutu bola sepak Malaysia secara langsung dan secara tidak langsung dengan sentiasa menetapkan tanda aras bola sepak Malaysia dari segi fasiliti, sains sukan, kejurulatihan, kualiti pemain asing, pembangunan pemain dan sebagainya.

Secara tidak langsung, kewujudan JDT telah mendorong pasukan-pasukan lain untuk meningkatkan infrastruktur bola sepak untuk memastikan tidak jauh ketinggalan. JDT pula sentiasa mencari cara untuk berada di puncak bola sepak Malaysia dan ini merupakan ‘never-ending process’ yang lama didahagakan untuk sebuah industri boleh dikatakan ‘stagnant’ untuk beberapa dekad sebelum 2013.

Secara langsung pula, strategi JDT untuk mendapatkan pemain-pemain terbaik di Malaysia membolehkan pemain-pemain membina persefahaman dengan berlatih bersama-sama setiap hari. Tambahan pula dengan fasiliti lengkap bertaraf dunia, sistem kejurulatihan yang sentiasa menegaskan bola sepak berintensiti tinggi dan penampilan konsisten dalam Liga Juara-Juara AFC di mana kemampuan JDT untuk bersaing dengan kelab-kelab dari Korea Selatan dan Jepun memberikan pengalaman, penambahbaikan dan motivasi kepada pemain JDT yang menjadi teras kepada pasukan kebangsaan.

Kami tidak akan tahu prestasi pasukan Harimau Malaya hari ini jika sebuah kelab seperti JDT tidak wujud tetapi sejarah kemerosotan bola sepak Malaysia sudahpun dicatat selama beberapa dekad. Apa yang pasti, JDT wujud sezaman dengan zaman Harimau Malaya mula menunjukkan taring.

KPG dan FAM bijak memanfaatkan era bola sepak Malaysia di mana tahapnya telah dibaiki oleh kewujudan JDT. Dengan adanya kelab berstatus tinggi, presiden FAM beraspirasi, jurulatih berkualiti dan pemain-pemain berbakat termasuk kehadiran pemain naturalisasi dan kacukan, Harimau Malaya mempunyai resipi kejayaan.