Ya, ada dua sahaja.

Saya tahu, kita semua pun tahu, ilmu berkenaan harta pusaka adalah antara yang paling rumit sekali pengurusannya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sudahlah prosedurnya rumit, tidak ramai pula yang faham. Daripada sedikit yang faham itu pula, bukan semua berpeluang mengamalkannya.

pusaka-01

Maka melalui artikel ini saya tidak akan rumitkan apa yang sudah sedia rumit. Untuk permulaan, cukup untuk tahu dua perkara asas dahulu.

1. Ketahui Status Harta & Beban Anda

Ada tiga perkara yang perlu disenaraikan sementara kita masih hidup.

Jangan sorokkan perkara-perkara ini sampaikan suami / isteri pun tidak tahu. Sebab lepas mati nanti, orang lain yang perlu uruskan.

Ingat, kita tidak boleh bangkit dari kubur untuk campur tangan urusan yang kita tinggalkan ini.

Harta tidak alih

Sebelum anda mati, kenalpasti berapa banyak harta tidak alih anda.

Harta kepunyaan anda bermaksud, nama anda ada tertera dalam suratan hakmilik (geran tanah) tidak kiralah sama ada nama anda sebagai pemilik penuh atau sebahagian daripadanya. Asalkan ada nama anda dalam geran tanah, itulah harta tak alih anda.

Buat satu SENARAI KHAS bagi setiap hakmilik tersebut. Tanah di utara, barat, timur dan selatan, senaraikan.

Simpan geran asal atau sekurang-kurangnya salinannya.

Sekiranya selepas anda mati dan geran tidak dapat dijumpai, waris-waris anda masih dapat membuat semakan di pejabat tanah dengan menggunakan salinan geran tersebut.

Kemaskini dokumen-dokumen hakmilik anda. Setiap kali anda melakukan apa-apa transaksi berkaitan harta tidak alih, simpan status terkini harta tidak alih tersebut.

Ini untuk mengelakkan waris-waris anda menyangka anda masih lagi pemilik hartanah sedangkan sebenarnya anda sudah mewakafkannya.

Ataupun, selama ini anda atau waris-waris menyangka anda adalah pemilik hartanah. Tetapi rupa-rupanya anda hanyalah pentadbir atau pemegang amanah!

pusaka-02

Harta boleh alih

Sama seperti harta tidak alih, kenalpasti semua harta boleh alih anda dan buat satu SENARAI KHAS juga.

Senaraikan setiap institusi kewangan yang menyimpan wang tunai anda, sijil-sijil saham, polisi-polisi takaful, geran kenderaan-kenderaan, akaun persatuan, NGO atau kelab yang mana anda memegang amanahnya dan sebagainya. Termasuklah juga ‘duit kutu’ bersama rakan sekerja.

Buat salinan bagi dokumen-dokumen berkaitan, terutama jika anda jenis yang menyimpan dokumen-dokumen asal dalam peti keselamatan di mana-mana institusi.

Oh ya, JANGAN LUPA! Dokumen tentang kewujudan peti keselamatan itu pun harus disimpan salinannya juga.

Hutang

SENARAIKAN semua hutang-hutang anda.

Dengan siapa atau institusi mana anda ada membuat hutang. Atau jika anda menjadi penjamin kepada sesiapa, senaraikan juga.

2. Ketahui Siapa Waris-waris Anda

Senaraikan nama ahli keluarga anda

Tidak seperti golongan bangsawan yang punya rekod lengkap sulur-galur salasilah keturunan mereka, rekod golongan kebanyakan adalah berbeza. Iaitu hampir tidak ada rekodnya.

Jangan kata nama moyang, nama penuh datuk dan nenek juga ada langsung tidak tahu. Adik-beradik datuk dan nenek pun gagal juga kadang-kadang.

Maka adalah satu amalan yang baik jika anda memulakan dahulu tradisi ini.

Iaitu menyimpan setiap salinan dokumen ahli keluarga anda, termasuklah salinan kad pengenalan, salinan sijil kelahiran, sijil nikah/perkahwinan dan juga salinan sijil kematian.

Kemudian, sebarkan amalan ini pada setiap ahli keluarga anda.

Cari waris yang sudah terputus hubungan

Manusia berubah. Begitu juga hati dan perasaan.

Mungkin ada ahli keluarga yang sudah tidak berhubung akibat perceraian. Dalam hal begini sekiranya boleh, cubalah kesan ahli keluarga yang terputus hubungan itu.

Carilah kembali bekas isteri/suami yang membawa diri bersama anak anda. Anak-anak yang dibawa pergi oleh bekas pasangan anda itu adalah waris-waris anda.

Biarpun anda sudah punya keluarga baru, mereka tetap berhak ke atas harta pusaka anda.

Daftar semua perkahwinan

Ini perkara yang tidak kurang pentingnya.

Daftarkan perkahwinan yang anda sembunyikan.

Ya, saya faham. Memanglah lebih baik jika perkahwinan diwar-warkan. Tapi anda mungkin ada alasan tersendiri untuk terus menyembunyikannya.

Cuma, ketahuilah bahawa perkahwinan senyap-senyap anda itu (walaupun sah di sini undang-undang) adalah menyusahkan.

Ia salah satu punca harta pusaka anda tidak dapat diuruskan oleh waris-waris. Malah berpotensi menjadi drama!

Lagi-lagi bila rahsia anda pecah di ruang tamu rumah – dan anda sedang terbujur kaku dalam bentuk jenazah.

pusaka-03

Kita Tidak Tahu Bila Ajal Sampai

Tuan-tuan dan puan-puan, kita tidak tahu bila ajal kita sampai.

Bertindaklah sekarang. Kenalpasti kedua-dua perkara asas ini selagi hayat dikandung badan. Mula buat senarai anda – hari ini.

Ya, hari ini. Kalau bukan hari ini, bila lagi?

Kalau anda sudah mati, anda pun tahu yang anda tidak boleh bangkit dari kubur dan beri keterangan di Mahkamah.

Artikel ini disumbangkan dan pertama kali diterbitkan oleh Pakdi.net.