Masjid Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan melakar sejarah manis apabila dinobatkan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year’ sempena World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026.
Anugerah berprestij itu disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan institusi tempatan mengangkat seni bina Islam dan pembangunan komuniti di pentas antarabangsa.
Gabungan Seni Bina Antarabangsa Dan Kerohanian
Berdiri megah di kawasan seluas lebih empat hektar di tepi tasik, masjid yang disiapkan pada tahun 2019 ini mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa.
Reka bentuknya diinspirasikan daripada seni bina era Abbasiyah yang diperkaya dengan elemen Mamluk. Pembinaannya memakan masa selama empat tahun dengan menggabungkan sentuhan pertukangan tempatan serta antarabangsa.
Bahan binaannya turut diimport dari pelbagai negara seperti Itali, Dubai, Portugal, Mesir dan India. Dilengkapi dua menara tinggi, kubah utama serta gerbang monumental, masjid ini tampil memukau sesiapa sahaja yang bertandang.
Lebih Daripada Sekadar Tempat Ibadah

Acara anugerah yang dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA menyifatkan Masjid Sri Sendayan sebagai simbol keharmonian dan ihsan.
Bukan sekadar ruang suci untuk beribadah, malah berperanan sebagai duta global yang memperkenalkan keindahan nilai Islam kepada pelawat tempatan mahupun luar negara.
Kehadiran pengunjung antarabangsa di sini memberi peluang kepada mereka untuk memahami kehidupan masyarakat dan budaya Islam dalam konteks Malaysia moden.
Keseimbangan Antara Agama Dan Pendedahan Masa Depan
Bagi pihak pengurusan masjid, keutamaan tidak hanya tertumpu kepada ritual keagamaan semata-mata, tetapi juga terhadap pembangunan sahsiah dan kemahiran masyarakat setempat.
“Sejak awal, kami mahu Masjid Sri Sendayan berkhidmat untuk agama dan juga komuniti. Hari ini, kira-kira 50 peratus aktiviti kami berteraskan keagamaan dan 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti dengan menggabungkan ibadah dan pembelajaran agama dengan program yang membina ilmu serta kemahiran,” kata Abdul Rashid.

Beliau turut menekankan kepentingan mempersiapkan masyarakat dengan perubahan teknologi dan ilmu semasa.
“Pembelajaran perlu berkembang seiring perubahan dunia di sekeliling kita. Atas sebab itu, kami turut memperkenalkan kemahiran dan pengetahuan kontemporari, termasuk pemahaman mengenai kecerdasan buatan atau AI,” katanya.
Pengiktirafan ini secara keseluruhannya meraikan sebuah institusi yang bukan sahaja teguh berpegang pada tradisi dan tujuan sucinya, malah yakin melangkah ke masa hadapan bersama komuniti yang dilayaninya.