Suasana di MAEPS, Serdang kembali bergegar dengan kehangatan dan semangat anak muda apabila AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink berlangsung selama 2 hari.
Festival dua hari yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam ini menghimpunkan 33 artis dari Malaysia dan Indonesia, menjadikannya antara acara hiburan paling besar dan berwarna-warni tahun ini.
Dengan tema “Paint The Town Red”, festival ini bukan sekadar pesta muzik, ia juga menjadi pertembungan budaya pop melalui gabungan fesyen, makanan, dan seni kontemporari.

Penganjuran tahun ini dilihat lebih besar dan matang, dibawakan dengan kerjasama pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa seperti AirAsia selaku rakan rasmi, Hotlink sebagai pendorong utama, serta KL Foodie, 7-Eleven, Perodua, SOVO, SVG, dan Kahf antara nama besar yang turut memeriahkan acara ini.
Barisan Artis Gah: Dari Legenda ke Bintang Baharu
Antara nama besar yang menghiasi pentas utama ialah Dato’ M. Nasir, Dato’ Jamal Abdillah, Ella, Noh Salleh & Restoe Iboe Band, Slam, dan Bunkface.
Tidak ketinggalan, artis-artis muda seperti Insomniacks, K-Clique, No Good, Lucidrari, dan FUGO membuktikan bahawa bakat tempatan terus berkembang dengan identiti tersendiri.

Mereka membawa nafas segar dan gaya eksperimental, dari trap rock, ska, hingga punk dialek Kelantan, menggambarkan kepelbagaian warna dalam landskap muzik Malaysia hari ini.
Festival ini turut memperkukuh hubungan budaya serantau apabila menampilkan artis Indonesia seperti Kunto Aji, Bernadya, Feby Putri, Ghea Indrawari, Samsons, dan Nadhif Basalamah.
Kehadiran mereka bukan sahaja menambah daya tarikan antarabangsa, malah memperlihatkan bagaimana muzik Nusantara kini bergerak dalam satu nadi yang sama, penuh rasa, penuh jiwa.
Platform Terbaik Bakat Tempatan dan Komuniti Seni
Salah satu elemen paling menarik dalam AirAsia Hausboom Festival 2025 ialah peluang yang diberikan kepada kumpulan baharu dan indie untuk berkongsi pentas dengan artis utama.

Nama-nama seperti LOKO, TT.13, The Rudean, Empty Page, dan Margasatwa menjadi simbol kepada semangat DIY dan keaslian muzik anak muda Malaysia.
Antara kisah inspirasi termasuk The Rudean, pemenang Hausboom Gig 2024, yang kini melangkah ke pentas besar hasil undian peminat.
Sementara itu, LOKO dan Empty Page membuktikan kuasa media digital mampu mengangkat muzik mereka hingga berjuta-juta tontonan di YouTube dan Spotify.