Penyanyi popular Hazama agak kurang bersetuju dengan fahaman childfree – iaitu ideologi pasangan suami isteri tak mahu memiliki anak – terutama sekali mereka yang merupakan pasangan muda.
Pada hari ini semakin ramai yang memilih untuk childfree atas alasan anak adalah satu bebanan dari segi ekonomi dan sebagainya. Ada yang merasakan kehidupan tanpa anak memberikan kebebasan kepada suami isteri untuk menikmati kehidupan seperti pergi melancong tanpa ada halangan.
Ada juga yang enggan mengambil tanggungjawab memiliki anak kerana risau tidak mampu memberikan pendidikan dan pembiayaan lain untuk anak anak ketika mereka membesar.
Tidak cukup dengan itu, ada juga pasangan yang menganggap sejarah penderaan mereka alami di masa lalu membuatkan mereka tidak mahu memiliki anak.
Hazama memberikan pandangannya dengan menyatakan bahawa, pasangan yang boleh berzuriat sebaik baiknya, biarlah ada anak.
Namun Hazama tetap menghormati cara seseorang itu dalam perancangan keluarga masing masing.
Hazama menegaskan bahawa fahaman childfree adalah merugikan pasangan muda. Kerana anak anak boleh menjadi pengikat kasih sayang dalam keluarga.
Dipetik daripada BH Online, Hazama berkata: “Namun begitu terpulang kepada setiap pasangan masing masing. Siapalah saya nak cakap lebih lebih.
“Mungkin mereka [pasangan muda] ini masih belum mendalami erti perkahwinan sebenar atau mereka ada matlamat lain.
“Namun pada pandangan saya, kalau berkahwin dan mereka boleh mendapat anak [tiada kekangan dari segi kesihatan atau kesuburan], biarlah ada anak. Nanti apabila kita nak, Allah tak bagi, macamana?”
Hazama selalu tergamam apabila melihat ada anak yang diabaikan dan dibuang serta didera. Kerana Tuhan bukan memberikan pasangan itu anak untuk diperlakukan sebegitu.
Dan dia sedih kerana mereka ini seolah olah tidak bersyukur dengan kurniaan yang diberikan tuhan yang tidak dinikmati semua pasangan – contohnya dia dan isterinya. Di mana mereka berdua masih menunggu zuriat mereka setelah 8 tahun berkahwin.
Hazama menambah: “Kadangkala apabila saya mendengar isu sebegini saya termenung dan terfikir kenapa Tuhan bagi dekat orang begitu.
“Patut bagi (anak) kepada saya yang tahu dan mahu jaga anak. Kita kena ingat, apa yang kita buat ada balasannya. Tanggunglah nanti jika buat begitu.”