Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi mengumumkan pelantikan semula Hector Bidoglio sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pengendali terdahulu, Esteban Solari.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran  itu disahkan laman sosial JOHOR Southern Tigers (JST) menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards.

Baca Juga:

Empat kejuaraan yang dihadiahkan Solari pada musim 2023 masih belum mampu untuk mengekalkannya di JDT dimana pengurusan tertinggi pasukan memilih untuk mengambil langkah penjimatan bagi menghadapi musim 2024/25.

Keadaan itu menyebabkan Solari bersama empat lagi pembantunya iaitu Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero perlu mengucapkan selamat tinggal.

Sehubungan dengan itu, Bidoglio sekali lagi telah mendapat kepercayaan untuk membimbing pasukan yang bukan sahaja mahu mengekalkan semua kejuaraan dimenangi.

Malah, JDT turut akan menghadapi cabaran besar di AFC Champions League Elite (ACL Elite).

“Hector Bidoglio, yang sebelum ni menjadi pengarah teknikal kelab dan penasihat pasukan utama, akan kembali sebagai Ketua Jurulatih Harimau Selatan.”

“Beliau akan dibantu oleh Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas, dan penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan & perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan.”

“Aidil Zafuan Abd Radzak juga akan menyertai barisan kejurulatihan Hector.”

“Hector pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai-November 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT.”

“Beliau telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas.”

“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.”

“Beliau juga pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis, dan telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.”