Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat, HeiTech Padu Bhd berjaya memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM19.87 juta daripada Jabatan Imigresen Malaysia bagi meneruskan penyelenggaraan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk tempoh dua tahun lagi.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat itu memberitahu bahawa tempoh lanjutan berkenaan akan bermula dari 18 Februari 2027 sehingga 17 Februari 2029.

Nilai kontrak itu turut merangkumi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus, petik The Edge Malaysia.

Lanjutan terbaharu ini hadir berikutan usaha kerajaan dalam melaksanakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) — yang turut dikendalikan oleh HeiTech Padu — bagi menggantikan platform MyIMMs yang telah beroperasi sejak tahun 1993.

Tempoh lanjutan penyelenggaraan MyIMMs ini sekali gus melepasi sasaran Kementerian Dalam Negeri sebelum ini yang menetapkan pengoperasian NIISe ke seluruh negara menjelang Oktober 2028.

Pihak kementerian menjelaskan bahawa MyIMMs perlu kekal beroperasi serentak dengan NIISe sepanjang tempoh transisi bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap perkhidmatan imigresen negara.

Pemberian ini menandakan lanjutan kali ketiga bagi kontrak penyelenggaraan MyIMMs oleh HeiTech Padu sejak mula dianugerahkan pada Mac 2021 dengan nilai RM33.92 juta untuk tempoh tiga tahun sehingga Februari 2024.

Kontrak itu kemudiannya dilanjutkan selama setahun pada Mac 2024 bernilai RM13.11 juta, diikuti lanjutan dua tahun bernilai RM28.26 juta pada Januari 2025 yang dijadualkan tamat pada 17 Februari 2027.