Majikan di Malaysia perlu segera mengambil langkah untuk menghentikan diskriminasi wanita dengan menghapuskan jurang gaji berdasarkan jantina, menurut kenyataan terkini daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), lapor The Edge.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, menegaskan bahawa pembayaran gaji harus berasaskan sumbangan dan prestasi pekerja, bukan jantina.

“Kita mesti segera menangani dan membetulkan sebarang ketidakadilan gaji yang masih wujud antara lelaki dan wanita. Wanita telah memainkan peranan penting dalam kemajuan budaya, ekonomi, dan sosial negara kita,” kata Syed Hussain.

Diskriminasi Wanita
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman – The Star

Beliau turut memuji wanita Malaysia yang telah mencapai kejayaan besar dalam politik, kehakiman, dan pentadbiran awam.

“Mereka menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk memecahkan cabaran berasaskan gender,” tambahnya.

Namun, cabaran wanita tidak terhenti di tempat kerja.

Syed Hussain mengakui bahawa wanita juga memainkan peranan besar sebagai penjaga utama dalam keluarga.

“Sumbangan mereka kepada pembangunan keluarga mengukuhkan struktur sosial Malaysia. Oleh itu, polisi dan sistem sokongan yang sesuai perlu dilaksanakan untuk menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan bagi pekerja wanita,” katanya lagi.

Diskriminasi Wanita Dalam Ketidaksamaan Gaji

Kenyataan MEF ini susulan seruan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, yang mendesak wanita untuk bersuara mengenai ketidaksamaan gaji yang mereka hadapi.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, graduan wanita di Malaysia menerima gaji kira-kira RM900 lebih rendah daripada graduan lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik yang setara.

Diskriminasi Wanita
Gambar hiasan

Nancy turut menegaskan bahawa wanita sering berdepan cabaran  seperti mengimbangi tugas kerja sambil menjaga anak dan ahli keluarga yang uzur, dan seharusnya tidak didiskriminasi atau diremehkan.

Malaysia Komited Kepada Polisi Kesaksamaan Gaji

Syed Hussain juga menekankan kepentingan penghapusan ketidaksamaan gaji berdasarkan jantina, selaras dengan ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Bayaran Sama Rata oleh Malaysia pada tahun 1997.

Sebagai ahli badan pentadbir ILO yang mewakili majikan, MEF komited untuk memastikan sektor swasta mengamalkan kesaksamaan gender dan memberikan imbuhan yang adil.

Diskriminasi Wanita
Gambar hiasan

“MEF percaya bahawa mempromosikan kesaksamaan gender bukan sahaja tanggungjawab moral, tetapi juga memberikan kelebihan strategik kepada negara. Dengan memanfaatkan bakat, kemahiran, dan perspektif wanita, Malaysia dapat mencapai masa depan yang lebih inklusif, inovatif, dan mampan,” ujar Syed Hussain.

Dalam usaha mencapai matlamat ini, majika diseru untuk mengambil tindakan segera demi mewujudkan persekitaran kerja yang adil, menhentikan diskriminasi wanita, menghargai sumbangan mereka, dan membina masyarakat yang lebih progresif.